Tuesday, August 9, 2022

Persamaan dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia

Secara Rawak

Perbahasan tentang Malaysia tidak dapat dipisahkan daripada menganalisis lapisan sejarah dan warisan budaya dalam kerangka masyarakat maritim, peradaban Alam Melayu dan peradaban majmuk Asia. Ia  saling terkait dan tersulam dengan pelbagai peradaban yang membumi hingga membentuk warga negara bangsa aneka kepebagaian bahasa, budaya dan agama kita pada hari ini.

Realiti sosial kehidupan warga Malaysia pada hari ini berakar umbi dan tersulam dalam peradaban maritim Alam Melayu.  Dengan kemerdekaan pada tahun 1957, tadbir urus dan pembangunan telah menggerakkan semula budaya perantauan hingga rakyat dari negeri Kelantan, Kedah, Pahang, Johor, antaranya, telah berhijrah ke Lembah Klang.

Tindakan ini diambil untuk merebut peluang ekonomi yang berkembangan pesat demi membina keluarga dan masa hadapan anak-anak mereka dengan taraf hidup baik dan terjamin.

Budaya perantauan ini terus berlaku dengan pembentukan Malaysia apabila bukan sahaja kampung-kampung Kelantan, Kedah, Perak, Pahang, Kampung Cina, Kampung India, dsbnya, telah terbangun di Lembah Klang.  Tetapi gelombang penghijrahan warga Malaysia ini juga membina Kampung Iban Sarawak, Kadazan-Dusun Sabah dan Pasar Borneo tumbuh di hujung minggu dalam meneruskan budaya perantau peradaban Alam Melayu di zaman silang itu.

Komuniti perantau warga Malaysia di Lembah Klang pada hari ini, bukan sahaja terdiri dari perantau Malaysia tetapi telah merekodkan beberapa gelombang penghijrahan perantau dari Negara-negara ASEAN dan juga dari Benua Barat, Timur Tengah dan Timur Jauh untuk melabur, berniaga, berkerja, belajar dan menetap di negara ini.

Dengan kepelbagaiaan lapisan rakyat dari negeri-negeri di Malaysia dan warga negara-negara seantero dunia yang menghuni bumi Selangor.

Masyarakat Selangor hari pada ini bukan lagi dihuni sahaja oleh Orang Asli dan rakyat Kesultanan Klang, Jugra dan Bukit Melawati tetapi juga dengan bangsa Melayu perantau peradaban Alam Melayu, peradaban majmuk Asia dari China, India dan Timur Tengah serta  warga sedunia.

Masyarakat Selangor beraneka kepelbagaian perantauan ini adalah asas kepada kesepaduan dan kemakmuran Selangor hingga terbina rakyat bangsa sepunya dalam membina kegemilangan peradaban Selangor yang telah dilalui sejarah kegemilangan peradaban Alam Melayu dan Asia sebagai aspirasi bersama mereka.

Lapisan sejarah dan warisan masyarakat maritim Alam Melayu diwarisi ini telah mengamal payung sosio-budaya politik Melayu dan membina nilai, norma dan budaya hidup berteraskan tolak ansur, muafakat dan perpaduan.

Amalan politik dan nilai ini terserlah dengan persetujuan dicapai dalam merangka Perlembagaan pada tahun 1948 yang menjadi asas kepda Perlambagaan Malaysia pada hari ini.

Kedua-dua asas politik dan nilai ini juga diamalkan semasa kepimpinan pelbagai etnik dalam Jawatankuasa Perhubungan Komuniti 1949 hingga lahir budaya perkongsian kuasa politik dengan tertubuh Perikatan, Barisan Nasional, Barisan Alternatif, Pakatan Harapan, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Perkongsian kuasa politik dinaungi oleh payung sistem sosio-politik Melayu dan diketuai oleh kepimpinan politik Melayu menjadi kehidupan politik di negara ini.

Hal sama dapat diperhatikan dalam kegiatan  ekonomi dan perniagaan. Kerjasama dan jaringan perniagaan merentas garis etnik dan agama dengan bermatlamat akhir mengaut keuntungan bersama dari projek ekonomi diceburi itu.

Dalam kehidupan harian, komuniti kepelbagaian di tempat kerja, pusat beli-belah dan di taman perumahan telah saling membantu, memberi pertolongan dan bersama-sama melakukan tugas yang diberikan di pejabat. Mereka  melakukan kerja secara profesional dalam setiap rantaian urusan perniagaan terlibat dan dalam kehidupan harian seperti amalan street wedding di taman perumahan, bergotong royong membersihkan taman dan bersama-sama meronda keselamatan taman mereka.

Hubungan pembangunan, peluang pekerjaan dan budaya perantau dalam masyarakat Malaysia telah merubah takrif kerja, penempatan tinggal dan bandar mengikut etnik yang diasaskan pendekatan pembangunan ekonomi oleh penjajah Inggeris mula dilonggarkan hingga kegiatan ekonomi, pekerjaan, tempat tinggal dan bandar menjadi komuniti campuran etnik. Perubahan sosial ini telah meninggal kesan positif ke atas pergaulan dan hubungan etnik pada hari ini.

Rakyat pelbagai etnik telah bekerja, tinggal di taman, membeli-belah  dan beriadah di bawah bumbung dan tempat yang sama. Hal ini membuka pelbagai ruang awam untuk rakyat berbeza etnik dan agama bergaul dan membina berhubungan  di antara mereka.

Keterikatan pergaulan dan hubungan sosial ini telah menjadikan rakyat Malaysia mengenal dan memahami ruang persamaan lebih wujud dari perbezaan di antara mereka.

Hubungan sosial rentas etnik dan agama  antara mereka ini telah mengharmonikan masyarakat dan semasa bencana alam seperti banjir yang sedang melanda negara terutama di negeri Selangor dan Pahang, rakyat terharu dengan ujian yang sedang dihadapi mangsa banjir dan telah menggerakkan jiwa dan kerja sukarelawan tanpa menggira etnik dan agama untuk meredah banjir untuk menolong dan menyalurkan air minum dan makanan kepada mereka yang sangat memerlukan itu.

Cerita dan montaj di whatsapp, instagram, twitter, FB dan YouTube tentang suasana banjir terkini dapat diperhati secara visual dalam masa benar berlaku; dari semasa air banjir air, rumah tenggelam ke bumbung, mangsa banjir dipindah ke pusat penempatan, ada menyelamatkan diri di bumbung rumah mereka, banyak meredah air banjir sendiri ke rumah keluarga mereka dsbnya senang dicapai di media sosial.

Selain pihak berwajib seperti bomba, agensi kerajaan di negeri, Tentera Malaysia dll., pertolongan dan bantuan disampaikan oleh individu, persatuan masyarakat dan universiti tempatan yang telah kukuh terbina keterikatan sosial bersama telah menjadi penggerak utama untuk melegakan kehidupan mangsa banjir. Penggerak sukarelawan masyarakat ini datang dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan kenegerian memberi makan minum, membersih rumah, membawa jenerator untuk mengcaj HP dsbnya.

Jelas persamaan dikongsi sama ini dalam kalangan anggota masyarakat aneka kepelbagaian telah membina budaya muafakat dan saling membantu dalam kehidupan bersama merentas etnik, budaya dan agama adalah kekuatan bangsa sepunya di Malaysia.

Keprihatinan berjiwa keinsanan kemanusiaan dimiliki rakyat Malaysia ini adalah aset negara terbesar dalam memastikan Malaysia terus harmoni, stabil dan maju.

Daripada episod-episod bencana alam yang telah melanda negara ini, kepimpinan negara dan negeri boleh mengambil iktibar dari jiwa keinsanan rakyat jelata yang lebih mengutamakan kemajuan, kedamaian dan kebajikan hidup mereka bersama-sama dari bermain dengan politik etnik dan agama pecahan dari menyatupadukan mereka.

Rakyat jelas kehidupan apa yang mereka mahu dan bentuk berpolitik yang mereka mahu ahli-ahli politik perlu amalkan dalam mengurus rakyat perantaun dan aneka kepelbagaian di negara ini. Kehidupan dan keperluan rakyat bangsa sepunya ialah tindakan matlamat yang wajib dituju dan bukan selainnya.

Penulis ialah Profesor di Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru