Tuesday, August 9, 2022

Salah guna dadah di Balingian: Dua lelaki kantoi

Secara Rawak

MUKAH: Dua lelaki disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahagunaan ditahan pihak polis sewaktu dalam perjalanan menuju ke ladang Rimbunan Hijau, Balingian pada petang Khamis.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek yang masing-masing berusia 33 tahun dan 25 tahun itu turut disahkan positif dadah jenis Amphetamine.

Siasatan awal turut mendapati salah seorang suspek terlibat dengan penagihan dadah jenis syabu sejak awal bulan Februari tahun 2020 hingga sekarang.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah menahan sebuah kenderaan pacuan empat Toyota Hilux berwarna hitam di tepi jalan laluan masuk ke ladang Rimbunan Hijau, Balingian menerusi Ops Tapis sekitar jam 3.30 petang Khamis.

“Polis mengarahkan kedua suspek keluar dari kereta dan hasil pemeriksaan menjumpai satu paket plastik lutsinar bersaiz besar dan dua paket palstik lutsinar sederhana masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar 111.22 gram dengan nilai anggaran RM10,111 di dalam beg yang digunakan salah seorang suspek.

“Polis turut tidak menjumpai apa-apa barang terlarang di tubuh badan salah seorang suspek termasuk kereta yang digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua barang dirampas termasuk kereta yang digunakan dan suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman mati atau jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dipenjara seumur hidup dengan 15 kali sebatan serta Seksyen 15(1)(a) jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM5000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru