Tuesday, November 29, 2022

NADMA perlu lebih proaktif

Secara Rawak

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menzahirkan kedukaan apabila banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas, sehingga kini telah mengorbankan 34 nyawa, satu jumlah yang tinggi akibat bencana banjir. Daripada jumlah ini, 14 mayat ditemui di Shah Alam sahaja.

Selain itu, ramai yang kehilangan tenpat tinggal dan ada yang hanya tinggal sehelai sepinggang.

Hujan lebat yang mula turun di sekitar Lembah Klang pada pagi Jumaat berterusan hingga pada waktu malam menyebabkan kenaikan paras air yang mendadak. Jabatan Meteorogi Malaysia telah mengeluarkan amaran awal berkenaan hujan lebat yang bakal melanda.

Namun, tiada peringatan tambahan oleh mana-mana pihak untuk menyedarkan rakyat bahawa hujan lebat kali ini adalah luar biasa. Disebabkan itu, ramai yang menyangka ianya hanya sekadar hujan lebat biasa yang dialami kebiasaannya di Kuala Lumpur.

NADMA yang ditubuhkan setelah banjir besar 2014 dilihat gagal bertindak pantas dalam situasi bencana kali ini. NADMA ditubuhkan untuk mengambil alih tanggungjawab pengurusan bencana alam dari MKN. Jadi tidak timbul soal menunding jari kepada mana-mana agensi lain.

Aset-aset lain juga gagal digerakkan dengan cepat, walhal kita berbangga mempamerkan aset-aset tersebut pada perarakan Hari Kemerdekaan. Bot kecil, sampan, kenderaan amphibia, dan sebagainya tidak digunakan dengan cepat. Rakyat Malaysia bernasib baik dengan tindakan pantas rakyat kita sendiri yang membawa bot-bot dan sampan kecil persendirian untuk menyelamatkan mangsa banjir.

DPIM turut mengucapkan tahniah kepada pihak ATM, APM, PDRM, Bomba dan semua agensi terlibat yang turun ke “ground zero” dalam misi menyelamat.

Sudah sampai masanya Perdana Menteri menganalisa situasi banjir besar kali ini dengan secara holistik. Rakyat mahu diselamatkan. Rakyat mahu survival hidup. Adalah tidak wajar apabila ada sebilangan Menteri menjadikan situasi banjir ini sebagai propaganda politik dengan membawa pegawai-pegawai iringan mereka penuh bot hanya sekadar untuk lensa kamera.

Pasca banjir adalah keadaan yang perlu diteliti sekarang. Demi kelangsungan hidup, bantuan kewangan perlu disalurkan secepat mungkin tanpa kerenah birokrasi.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyantuni mangsa-mangsa banjir sekitar Shah Alam, Subang dan Puchong yang ditempatkan di Masjid Al Falah, Subang dan berterima kasih di atas sumbangan dari rakyat Malaysia yang cakna dengan mangsa banjir.

Sumbangan makanan, peralatan kebersihan diri, dan pakaian sememangnya dialu-alukan. Pada masa yang sama, sumbangan tenaga sukarewalan turut diperlukan. Oleh itu, DPIM menyeru seluruh ahli IKATAN, parti-parti politik lain dan seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi sukarelawan pasca banjir. Kita Keluarga Malaysia!

Malaysia Sejahtera!

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru