Tuesday, June 28, 2022

Bencana alam ibarat bom jangka

Secara Rawak

PERUBAHAN angin monsun timur laut yang disusuli hujan lebat berterusan merupakan penyumbang utama kejadian banjir terutama di kawasan rendah.

Sehubungan itu, kita mendoakan semoga bencana banjir yang melanda di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia kembali pulih seperti biasa dan semua mangsa diberi ketabahan menghadapinya.

Antara negeri yang terjejas teruk ialah Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Selangor, Perak, Kelantan dan Pahang.

Malah bencana itu dijangka bertambah buruk dan beberapa negeri lain turut diramal mengalami nasib yang sama jika keadaan berterusan berikutan fenomena lekukan tropika yang menyebabkan taburan hujan yang tinggi.

Kejadian kali ini dikatakan antara yang terburuk apabila sebanyak 6,479 mangsa daripada 2,898 keluarga di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang diarah meninggalkan kediaman masing-masing untuk ditempatkan di pusat penempatan sementara.

Sehubungan itu, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, antara negeri yang terkesan ialah Selangor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bomba ujar beliau telah menerima laporan sekurangkurangnya dua kematian. Satu di Pahang dan satu lagi di Terengganu. Dalam satu reaksi, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang menjelaskan, banjir besar yang melanda Lembah Klang berpunca daripada taburan hutan turun dalam tempoh 24 jam.

Perkara itu katanya, di luar jangkaan walaupun kesemua agensi telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Taburan hujan Pada masa yang sama, taburan hujan 24 jam di Sentul sebanyak 363 milimeter, di tempat lain seperti di kilometer 11 daerah Gombak sebanyak 247 milimeter, di Jinjang 258 milimeter dan di Jalan Tun Razak 273 milimeter sehingga Ahad lalu.

Malaysia yang terletak begitu hampir dengan garisan Khatulistiwa menjadikan iklimnya hampir sekata sepanjang tahun. Berdasarkan keadaan geografinya, Malaysia sangat beruntung kerana bebas daripada ancaman bencana alam dahsyat seperti gunung berapi dan gempa bumi.

Walaupun tidak seburuk bencana di negara luar, semua pihak perlu mengambil iktibar kerana malapetaka ini dianggap sebagai ‘bom jangka’ yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Malah, bencana alam tidak memilih tempat atau kawasan orang tertentu.

Justeru, pelbagai agensi berkaitan termasuk Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), harus sentiasa bersiap siaga menghadapinya. Difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak mempunyai kekuatan 1,194 pegawai dan anggota sudah bersiap sedia bersedia menghadapi fasa peralihan monsun timur laut yang bermula November lalu hingga Mac tahun depan.

Daripada jumlah itu seramai 230 Pegawai Bomba Bantuan (PBB); 2,259 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari 53 pasukan; 7,453 Bomba Komuniti dan 10,107 peserta Pasukan Tindakan Kecemasan Komuniti (Cert) di seluruh negeri juga sudah siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Pokok pangkalnya, kita mesti lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada bagi memastikan bilangan tragedi dapat dikurangkan jika tidak pun, dielakkan. Sama ada di darat mahupun di lautan, bencana dan tragedi pasti akan berlaku namun sebagai manusia, kita hanya merancang dan Tuhan menentukan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru