Tuesday, August 9, 2022

Rahsia kejayaan Abang Johari,  GPS dalam PRN-12 

Secara Rawak

Gabungan Parti Sarawak  (GPS) seperti dijangka  memenangi pilihan raya kali ini dengan penuh bergaya. Memenangi 76  kerusi daripada 82 kerusi DUN.   

Bukan saja lebih baik daripada pencapaian pada 2016, malah yang terbaik dan paling cemerlang direkodkan oleh parti. Maksudnya, pencapaian Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg lebih baik daripada pencapaian Ketua Menteri yang lepas-lepas termasuk Tan Sri Adenan Satem, Tun Taib Mahmud, Tun Rahman Yaakub, dan  Tawi Sli.  Implikasi dan maksudnya, Abang Johari kini dapat keluar daripada  bayangan mentornya, Tun Taib dan Adenan Satem.

PRN Sarawak diadakan pada 1969, 1974, 1979, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001, 2006,2011 dan 2016.

Namun, jumlah pengundi yang turun mengundi adalah yang terendah dalam sejarah PRN Sarawak apabila hanya merekodkan 60.67 peratus, jauh tersasar  daripada sasaran SPR sebanyak 70 peratus. Peratusan terendah ialah 63.22 peratus pada 2006 manakala tertinggi ialah 80 peratus pada 1969.

Di sebalik kempen yang agak suram  kerana prosedur operasi standard  (SOP) ditetapkan SPR, berbanding PRN atau PRU sebelum ancaman Covid-19, kempen kali ini mencetuskan kesukaran tersendiri.  

Kekangan  begitu terasa terutama bagi calon muka baharu. Sebagai akibatnya, ada yang sekadar melakukan kempen sentuh dan lalu bagi memastikan semua kawasan dapat diliputi. Ini sesuatu yang amat mencabar.

Kemenangan GPS adalah disebabkan kebanyakan pengundi masih lagi meletakkan kepercayaan tinggi terhadap GPS dan kepemimpinan Abang Johari.

Pengerusi GPS itu dilihat sebagai begitu komited untuk membawa transformasi dan pembangunan  terutama membawa negeri ini menuju 2030. Hal ini dapat dibuktikan daripada komitmennya dalam membentangkan belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri dan paling tinggi dalam kalangan negeri di Malaysia,  mengatasi malah negeri termaju seperti Selangor dan Johor. 

Betapa tidak, dengan sekitar RM40 bilion bagi belanjawan dari 2018 hingga 2022, serta lebih 60 peratus untuk pembangunan luar bandar, ia merupakan  komitmen jitu untuk mengubah nasib dan keadaan penduduk di luar bandar. 

Rekod prestasi beliau dan kerajaan GPS dalam tempoh lima tahun adalah jelas.  Sebanyak 34 janji dan tekad dalam manifesto berteraskan usaha menjamin kestabilan, kemakmuran dan kegemilangan berjaya menambat hati para pengundi. GPS berjuang atas falsafah dan ideologi ‘Sarawak untuk semua, Semua untuk Sarawak.’ 

Perjuangan Aspirasi dan PBK membawa Sarawak keluar dari Malaysia memakan diri. Ia bagai senjata makan tuan ketika mereka sepatutnya membantu untuk mengukuhkan integrasi nasional dan menguatkan MA63 seperti dilakukan oleh GPS. Bagi pembangkang, pembinaan negara bangsa dan integrasi nasional seolah-olah bukan keutamaan.

Tekad dalam manifesto GPS bukan sahaja kesinambungan daripada 110 inisiatif Abang Johari, tetapi  merupakan komitmen dan azam kuat untuk membawa pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang. 

Ini termasuk politik, ekonomi, kemudahan prasarana, kesihatan, alam sekitar, pendidikan, kebajikan, wanita, belia, telekomunikasi dan seumpamanya. Kelebihan terletak pada GPS sebagai parti memerintah.

Pelbagai bentuk bantuan melalui Bantuan Sarawakku Sayang turut memberi kesan terhadap pola pengundian dan sokongan terhadap GPS kali ini. RM5.3 bilion telah disalurkan oleh kerajaan untuk meringankan beban golongan yang terkena tempias, termasuk ahli perniagaan dan usahawan industri kecil dan sederhana.

Sebaliknya, pembangkang  terutamanya DAP,  PSB, PKR, PBK dan Aspirasi  dilihat hanya cuba memperlekeh usaha kerajaan.  PSB dengan kewangan kukuh  dibantu syarikat terkenal dan taikun mampu menaja calon dan memperagakan bendera dan poster yang banyak di seluruh Sarawak.  

Meskipun tidak melakarkan prestasi yang cemerlang, inilah parti yang perlu diberikan perhatian dalam PRN dan PRU akan datang. PSB dijangka menjadi pembangkang utama mengatasi DAP dalam tempoh lima tahun akan datang asalkan ia terus merancakkan momentumnya.

Perpecahan ketara dalam kalangan mereka, lebih-lebih lagi dengan pertandingan pelbagai penjuru yang terlalu banyak, menyukarkan usaha mereka untuk menang. 

Perpecahan undi dalam kalangan pembangkang menguntungkan GPS sehingga menyaksikan, calon PSB dan DAP turut menjadi korban. Itulah sebabnya, antara sebab SUPP menang besar.  

Tsunami Cina berlaku apabila parti tertua Sarawak yang ditubuhkan pada 1959 itu memenangi 13 daripada 18 kerusi ditandinginya.

Ia hanya memecahkan undi sekali gus menguntungkan calon GPS. PH yang hanya bertanding di 62 kerusi dilihat tidak serius, begitu juga dengan PBK dan PSB yang masing-masing hanya bertanding di 72 dan 70 kerusi.  

Manifesto dan perjuangan pembangkang yang mahu Sarawak dimerdekakan daripada Malaysia hanya menarik perhatian segelintir pengundi, dan akhirnya membawa padah.  

Pembangkang dilihat berjuang atas garis kaum dengan membangkitkan isu perkauman dan agama yang sempit sedangkan GPS dilihat menitikberatkan keadilan untuk semua kaum dan agama walaupun cuba dinafikan pembangkang.

Kegagalan Kerajaan PH ketika memerintah selama 22 bulan jadi liabiliti kepada DAP, PKR dan Amanah sehingga sebahagian besar daripada calon mereka kecundang, malah ada yang hilang wang pertaruhan.  Masih segar dalam memori kolektif rakyat Sarawak bagaimana tindak-tanduk bagai kaduk naik junjung ketika PH memerintah terutama pemimpin DAP. 

Yang menyebabkan luka lebih dalam ialah tindakan PH membatalkan banyak projek pembangunan termasuk jalan raya dan jambatan. Rakyat Sarawak bangkit dan menunjukkan kemarahan mereka melalui peti undi semalam.

Kesudahannya, kebanyakan calon dan parti pembangkang merana dan terpaksa menelan pil pahit apabila tewas dan hilang wang pertaruhan. 

Namun, pengundi terutamanya di bandar masih memerlukan calon pembangkang seperti DAP bagi memastikan adanya semak dan imbang di DUN Sarawak. Malah, inilah  antara  hujah dan naratif politik digunakan PH ketika berkempen.

Meskipun entiti politik baharu dengan logo baharu itu kelihatannya tidak menjadi masalah.  Sesungguhnya, kelebihan terletak pada GPS dari segi  jentera akar umbi. Jentera kempennya walaupun berdepan kekangan kerana SOP kempen, namun lebih tersusun, kuat dan berkesan disebabkan kehadirannya untuk lebih daripada empat dekad.  

Namun, tidak demikian bagi kebanyakan parti pembangkang dan calon Bebas yang hanya muncul dan aktif menjelang pilihan raya. 

Mereka dianggap tidak serius, apatah lagi pengundi masih beranggapan bahawa hanya parti pemerintah dapat membawa pembangunan. 

Pembangunan tetap merupakan satu kelebihan GPS dan menjadi isu utama terutama di luar bandar. Perjuangan Abang Johari untuk memastikan kemudahan di luar bandar terus dilaksanakan dan diperbaiki disenangi rakyat.

Hal ini semakin  penting ketika Sarawak masih berdepan masalah air bersih, tekanan air rendah, bekalan elektrik, Internet dan masalah kemudahan asas yang lain. Ketika saya berkunjung ke pelbagai kawasan, inilah isu utama dibangkitkan, selain soal ekonomi, peluang pekerjaan, harga barangan dan pendidikan.

Kini Abang Johari dilihat begitu serius menyelesaikan masalah tersebut, jadi bagi kebanyakan rakyat, peluang perlu terus diberi kepada beliau untuk menerajui Sarawak. Sokongan tinggi terhadap kepemimpinan beliau yang adil dan bersih banyak membantu. 

Dengan mandat baharu diperoleh Abang Johari dan GPS, kini menjadi tugas dan tanggungjawab mereka untuk memastikan segala janji dan tekad dalam manifesto dikotakan. 

Mereka akan dinilai oleh rakyat yang bertindak sebagai hakim dalam tempoh lima tahun lagi. Jadi, pastikan segala masalah dan isu yang masuk ke dalam telinga dan rungutan yang dibangkitkan rakyat diberi perhatian yang serius selepas ini. 

Untuk itu, kita mengharapkan barisan kepemimpinan yang terbaik dari segi sikap, kualiti, pengalaman, kemahiran, kelayakan dan integriti ditampilkan dalam barisan kabinet baharu untuk memastikan segala janji dan projek dilaksanakan dengan berkesan, ketika Sarawak menuju 2030. 

Sudah pasti kementerian dan menteri yang dilantik nanti akan mencerminkan tekad, inisiatif, dasar, rancangan dan wawasan yang bakal dilaksanakan oleh Ketua Menteri dalam tempoh lima tahun nanti.

Kebanyakan calon sudah mencuba sedaya upaya, tetapi hanya 82 calon yang difikirkan terbaik ditampilkan ke DUN Sarawak manakala 267 lagi terpaksa menerima hakikat bahawa mereka tidak layak jadi wakil rakyat. 

Kepada calon yang menang diucapkan tahniah, kepada yang kecundang, cuba lagi lima tahun dari sekarang.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru