Tuesday, November 29, 2022

Mengamuk semasa kempen PRN-12, lelaki dperintah berkelakuan baik

Secara Rawak

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan seorang lelaki berusia 54 tahun bon berkelakuan baik selama dua tahun kerana mengamuk menggunakan sebilah parang semasa kempen Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, minggu lepas.

Siku Mide,54, terlepas daripada hukuman penjara minimum lima tahun atau sebatan selepas Hakim Afidah Abdul Rahman meneliti beberapa faktor seperti pengakuan salah dan rayuan tertuduh serta berat kesalahan yang dilakukannya termasuklah mengambil kira kepentingan awam.

Mahkamah juga menetapkan jaminan RM5,000 bagi bon tingkah laku yang baik dengan dua orang penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sendiri dengan hanya melakukan kerja-kerja kampung didakwa memiliki sebilah parang di tempat awam tanpa kebenaran pihak berkuasa dan tiada tujuan sah di hadapan Balai Raya Kampung Sebobok, Bau, sekitar jam 10.50 pagi, 15 Disember lalu.

Tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa memiliki sebilah parang di tempat awam tanpa kebenaran pihak berkuasa dan tanpa maksud sah pada 15 Disember lalu, jam 10.50 pagi di hadapan Balai Raya Kampung Sebobok di Bau.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh tiba-tiba datang lalu mengugut hendak membakar kanopi sekiranya meneruskan pemasangan kanopi terbabit semasa penduduk kampung sedang melakukan kerja gotong-royong menyiapkan Pusat Mengundi di Balai Raya Kampung Sebobok.

Kemudian, tertuduh beredar dari tempat terbabit lalu datang kembali dengan sebilah parang seterusnya menetak kanopi dan kerusi plastik di balai berkenaan.

Ekoran kejadian itu, beberapa orang penduduk kampung berasa takut lalu lari bertempiaran dari kawasan terbabit.

Selepas kejadian, tiada kecederaan dilaporkan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,840.

Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh merayu agar hukuman berat tidak dikenakan dengan alasan bahawa dia bertanggungjawab menjaga isterinya yang telah uzur dan memerlukan penjagaan rapi.

Selain itu, dia yang tidak diwakili mana-mana peguam mengaku menyesali perbuatan terbabit dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff.

Selain itu, tertuduh juga bakal didakwa di Mahkamah Majistret Bau pada awal Januari 2022 mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan merosakkan harta benda serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru