Tuesday, January 18, 2022

Makna di sebalik kemenangan besar GPS

Secara Rawak

PRN-12 Sarawak telah melabuhkan tirainya pada 18 Disember lepas. Pemenang bagi pertarungan PRN-12 telah diketahui. Tahniah kepada semua yang berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Bagi yang kalah, rungkaikan apa-apa yang menyebabkan kekalahan dan bangkit kembali pada PRN yang seterusnya. Kalah bukan bererti kalah selama-lamanya. Usaha gigih memenangi hati rakyat harus diteruskan. Santuni rakyat walaupun kita kalah.

Kemenangan besar GPS pada PRN-12 ini memang di luar jangkaan, namun hakikat adalah apa-apa boleh berlaku dalam politik. Perkara ini membuktikan bahawa dalam politik perkara di luar jangkaan boleh berlaku. Kemenangan 76 kerusi daripada 82 kerusi dengan 60.02 peratus menyokong GPS pimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ialah kemenangan yang amat bermakna bagi GPS. Apa yang paling penting, kemenangan besar GPS ini merupakan mandat pertama Abang Jo sebagai Ketua Menteri dan mengemudi bahtera baharu GPS.

Dalam kemenangan besar GPS pada PRN-12 ini, 169 daripada 349 orang calon telah hilang wang deposit. Seperti yang dijangkakan, calon dari PBK merupakan penyumbang terbesar jumlah calon hilang wang deposit iaitu seramai 66 orang daripada 73 orang calon yang parti ini kemukakan. Lebih kurang 90 peratus calon PBK telah hilang wang deposit. Kemungkinan besar PBK akan lenyap dalam landskap politik Sarawak selepas ini.

Manakala, parti Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah juga menyaksikan calon mereka hilang wang deposit iaitu seramai 40 orang. PH telah meletakan seramai 62 orang calon pada PRN-12 ini. PKR telah bertanding pada 28 kerusi, DAP bertanding sebanyak 26 kerusi dan Amanah bertanding sebanyak 8 kerusi. Seramai 22 orang calon dari PKR telah hilang wang deposit, 11 orang pula dari DAP dan 7 orang dari Amanah.

Justeru, bagi PSB yang meletakkan 70 orang calon, hanya 10 daripada calon telah hilang deposit. Ini menunjukkan bahawa pada PRN-12 ini PSB sebagai parti pembangkang dilihat lebih berjaya daripada PH. PSB telah menang empat kerusi manakal PH hanya mampu memenangi dua kerusi sahaja.

Bagi calon bebas pula, 23 daripada 30 orang calon Bebas yang bertanding pada PRU-12 ini telah hilang wang deposit.

ASPIRASI, PBDSB dan SEDAR kalau tidak silap kesemua calon yang dikemukakan telah hilang wang deposit. Ketiga-tiga parti ini perlu memikirkan masa depan parti kerana semenjak menyertai pilihan raya di Sarawak mereka belum dapat memenangi sebarang kerusi namun hakikat kebanyakkan calon hilang wang deposit.

Pada PRN-12 kali ini, lonjakan sokongan pengundi Cina terhadap GPS adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemenangan besar GPS. Lantunan undi serta perpecahan undi daripada pengundi kaum Cina di kawasan bandar telah menyebabkan GPS dapat merampas kembali beberapa kerusi daripada DAP.

Antara kerusi yang berjaya dirampas kembali oleh GPS iaitu Kota Sentosa, Pelawan, Bukit Assek, Tanjung Batu dan Pujut. Namun begitu, kemenangan GPS di kelima-lima kerusi ini adalah di bawah 50 peratus undian yang diperoleh.

Selain itu, bagi kerusi DUN majoriti kaum Iban seperti yang dijangkakan bahawa undi majoriti GPS akan merosot. Namun begitu tidak dinafikan ada juga undi majoriti di kawasan majoriti kaum Iban juga meningkat. Di kawasan Bahagian Sri Aman, kerusi DUN majoriti Iban telah berlaku persaingan sengit dan ini terbukti benar apabila kelima-lima kerusi DUN telah menyaksikan kemenangan calon hanya dengan majoriti yang agak tipis dan berkurangan.

Kelima-lima DUN iaitu Balai Ringin, Bukit Begunan, Simanggang, Batang Ai dan Engkilili penyandang dapat mengekalkan kemenangan masing-masing pada PRN-12 ini. Apa yang pasti majoriti mereka jatuh merudum terutama bagi DUN N.32 Simanggang, dan DUN N.34 Batang Ai. Bagi DUN N.32 Simanggang, penyandang yang menang besar pada PRN-11 hanya mampu meraih 175 majoriti undi pada PRN-12 ini. Sama juga bagi DUN N.34 Batang Ai, penyandang yang menang besar pada PRN-11 lepas hanya mampu meraih 738 majoriti undi pada PRN-12 ini.

Bagi DUN N.30 Balai Ringin, penyandang yang menang dengan majoriti undi sebanyak 2038, namun pada PRN-12 penyandang hanya mampu memenangai kerusi dengan majoriti undi sebanyak 1285. Manakala, bagi DUN N.31 Bukit Begunan, penyandang hanya meraih majoriti undi sebanyak 1402 berbanding pada PRN-11 lepas penyandang mendapat 4695 majoriti undi. Di DUN N.33 Engkilili, penyandang juga menyaksikan penurunan majoriti undi apabila beliau hanya mendapat 1191 majoriti undi pada PRN-12 ini berbanding 3857 majoriti undi pada PRN-11 lepas.

Hakikat adalah, pada PRN-12 kali ini, peratusan keluar mengundi banyak memberikan kesan kepada jumlah majoriti undi yang diperolehi oleh calon. Pertandingan pelbagai penjuru juga menyumbang kepada kemenangan besar GPS pada PRN-12 ini. Tidak dapat dinafikan bahawa pertandingan pelbagai penjuru telah memberi kelebihan kepada GPS pada pilihan raya kali ini.

Apa-apa pun, kemenangan besar GPS harus disusuli dengan tindakan yang lebih prihatin serta cakna kepada keluh-kesah rakyat di bumi kenyalang. Dasar yang lebih inklusif serta adil harus dikekalkan atau ditambahbaik bagi memastikan kemenangan besar GPS dapat dirasai oleh segenap pelosok negeri Sarawak. Berdasarkan prestasi GPS sebelum ini, sudah pasti segala janji serta manifesto akan ditunaikan oleh parti ini untuk tempoh lima tahun akan datang. Kini, kita senarai barisan kabinet GPS yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Dick Lembang Dugun ialah penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru