Tuesday, January 18, 2022

Cabaran, tanggungjawab besar GPS tunaikan janji

Secara Rawak

Gabungan Parti Sarawak (GPS)  memenangi 76 kerusi DUN dengan bergaya, melangkaui jangkauan banyak pemerhati politik.

Keputusan  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengeluarkan BN Sarawak daripada BN pusat susulan kekalahan BN  terus menawan Putrajaya dalam PRU merupakan satu langkah yang berani dan drastik, tetapi berpandangan jauh.

Ini merupakan percaturan politik yang memberi kesan positif terhadap kepemimpinan beliau dan Sarawak pada amnya.

Sarawak tidak lagi terikat dengan dasar dan keputusan yang dibuat oleh parti dominan dalam BN, khususnya umno.

Sebaliknya, sebagai entiti politik bebas, GPS yang ditubuhkan pada 12 Jun 2018, mempunyai autonomi, dan tidak perlu tunduk kepada kehendak dan tekanan ‘abang besar’ di Kuala Lumpur.

Sebaliknya, dengan kemenangan yang baru dilakar, mandat Abang Johari dan GPS begitu besar. Ia pasti akan memberi satu kelebihan kepada GPS dalam sebarang perundingan dengan Putrajaya.

Bersatu yang sudah memasang angan-angan untuk berunding kerusi dalam PRU-15 perlu memikirkan semula hasratnya itu.

Kemenangan besar dan cemerlang kali ini, termasuk menyaksikan tsunami pengundi Cina pasti memberi dorongan kepada bagi Abang Johari untuk mengekalkan momentum itu untuk PRU-15.

Seyogia diingat, Abang Johari memimpin GPS melalui beberapa tempoh sukar sejak pilihan raya umum 2018, termasuk Sarawak menjadi pembangkang di peringkat pusat. 

Rakyat Sarawak sedar dan sudah tahu bagaimana mereka diperlekeh PH, termasuk banyak projek pembangunan dibatalkan sedangkan projek itu untuk kesejahteraan dan faedah rakyat. Sampai hati pemimpin PH, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng dan Chong Chieng Jen membatalkannya kerana dendam.

Yang memburukkan keadaan dan tanggapan pengundi, termasuk pengundi Cina ialah kegagalan PH menunaikan janji, termasuk 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak. Maksudnya, mereka hanya pandai bercakap dan berjanji tetapi gagal mengotakannya.

Pada Sabtu, hanya 60% daripada 1.2 juta pengundi Sarawak membuang undi.  Ini merupakan peratusan terendah dalam sejarah PRN Sarawak sejak 1969.

Sekatan berkempen disebabkan peraturan Covid-19 juga menyukarkan calon pembangkang.

Hakikatnya, begitu banyak parti politikk bertanding di pihak pembangkang menguntungkan GPS. pertandingan banyak penjuru memberi kesan  besar. Undi pembangkang pecah. 

Meskipun parti politik pembangkang banyak, sebenarnya tidak terdapat alternatif yang lebih baik. GPS tetap dianggap yang terbaik. 

Sebanyak sembilan parti pembangkang mengambil bahagian dalam PRN ini, namun hanya DAP, PKR, dan Amanah bergabung.  Yang lain bertembung sesama sendiri dengan ideologi dan manifesto masing-masing. Ini memakan tuan. Kesudahannya, DAP yang bertanding di 26 kerusi hanya menang di dua kerusi. Rekod paling buruk sejak 1991.

Tiada alasan kukuh untuk pengundi menyokong parti lain; bagi segelintir yang meramalkan kemenangan GPS.

 GPS dilihat mampu memenuhi tekad dan janji dalam manifesto berteraskan tema kestabilan, kemakmuran dan kegemilangan.

Adakah prestasi GPS lebih baik daripada  dalam PRU-14?

Yang pasti, trend pengundian dalam PN-12 jika dapat dikekalkan, pasti akan memberi kesan positif kepada parti terkuat Sarawak itu. Dalam PRU-14,  BN ketika itu hanya menang 19 daripada 31 kerusi Parlimen.

Kira-kira 5.8 juta pengundi muda baharu akan muncul sebaik sahaja Undi18 dilaksanakan di negara ini.

Harus diingat, kemenangan besar GPS diiringi dengan cabaran, tanggungjawab dan ujian besar. Pengundi mempunyai jangkaan yang lebih tinggi terhadap parti dan ahli politik.

Maka, GPS perlu sedaya upaya menunaikan 34 janji dan tekadnya dalam manifesto kali ini. Mereka akan dipantau dan dinilai  oleh rakyat sepanjang lima tahun, dan seterusnya dihakimi oleh pengundi dalam PRN-13 nanti.

Awang Bolkiah Ali ialah pengamat politik Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru