Tuesday, June 28, 2022

Sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca hujan lebat

Secara Rawak

KUCHING: Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca hujan lebat terutamanya di kawasan tanah rendah dan bersiap sedia untuk berpindah apabila paras air naik tinggi.

Berdasarkan garis panduan yang dikongsikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, orang ramai disarankan untuk mengenal pasti pusat pemindahan banjir sekiranya kawasan rumah senang dilanda banjir.

Selain itu, orang ramai juga disarankan untuk menyediakan alat kelengkapan ikhtiar hidup dan bekalan tambahan seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan dan keperluan harian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman ketika dihubungi berkata, orang ramai harus memberikan perhatian terhadap garis panduan dan langkah berjaga-jaga yang dikongsikan oleh JBPM Sarawak.

“Orang ramai dikehendaki untuk peka terhadap arahan dan pesanan dari pihak berwajib.

“Selain itu, orang ramai juga harus mengenal pasti kawasan masing-masing untuk lebih bersedia dan sentiasa berwaspada,” katanya.

Sebelum ini, Khirudin dalam sidang media pada Oktober lalu berkata, JBPM Sarawak telah mengenal pasti 349 lokasi berisiko dilanda banjir di seluruh negeri ketika musim monsun Timur Laut.

Katanya, terdapat 54 lokasi berisiko banjir di zon 1 (Kuching, Bau dan Lundu); 61 di Zon 2 (Kota Samarahan, Siburan, Serian, Simunjan dan Asajaya); 23 di Zon 3 (Sri Aman, Betong dan Saratok); 90 di Zon 4 (Sibu, Sungai Merah, Sarikei, Bintangor, Kanowit, Mukah, Kapit, Song, Daro, Selangau dan Sibu Jaya); 13 di Zon 5 (Bintulu, Samalaju dan Tatau); 78 di Zon 6 (Miri, Lopeng, Batu Niah dan Marudi); dan 30 di Zon 7 (Limbang).

Di samping itu, pihaknya juga telah mengenal pasti 97 lokasi jalan mudah putus di semua tujuh zon terutamanya di zon Sibu dan Sri Aman.

Tambahnya, JBPM Sarawak juga mengenal pasti sebanyak 77 lokasi tanah runtuh iaitu di 32 lokasi di Zon Sibu dan 19 lokasi di Zon Sri Aman.

Dalam berhadapan bencana banjir, katanya, sebanyak 37 buah bot serta anggota bomba di seluruh negeri telah bersiap sedia dalam berdepan dengan kemungkinan tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru