Sunday, November 27, 2022

Rakyat Kabong,Kalaka dan Krian pertaruh penangan keramat GPS untuk kemajuan

Secara Rawak

KABONG: Ibarat bulan purnama mengambang penuh, kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRN Ke-12 menjadi isyarat jelas kepada kerajaan GPS bahawa rakyat mempertaruh serta meletakkan harapan besar, sebesar sokongan yang diterima dalam PRN12 kali ini .

Jika pada hari penamaan calon 6 Disember lalu, suasana air pasang besar berlaku, berlainan pula pada hari pengundian, gerimis dan hujan sederhana pada awal pagi dan disusuli hujan lebat menjadi penutup untuk hari pengundian pada sebelah petang.

Dan, pada sebelah malamnya pula menyusul pengumuman rasmi yang menyaksikan kemenangan calon GPS ‘mencurah-curah’ bagaikan hujan sehingga menyaksikan kemenangan besar GPS menawan 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Luar biasa !

Dengan kemenangan besar serta jauh melebihi majoriti dua pertiga, GPS diangkat rakyat jelata untuk terus menjadi kuasa dalam menerajui pentadbiran Sarawak.

Dan pasti juga ia akan menjadi bunga-bunga harapan kepada kerajaan persekutuan untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) yang akan menyusul dalam beberapa purnama dari sekarang.

Paling ketara dalam PRN 12, pengaruh parti seperti DAP dan PKR semakin sirna dan menipis.Tidak terkecuali kehadiran PSB yang masih belum berjaya menyakinkan pengundi walau telah banyak membayangkan yang indah-indah untuk pengundi jika diberi mandat mentadbir negeri.

Untuk senario di DUN Kabong, Calon GPS Mohd. Chee Kadir membuktikan kelibatnya masih diperlukan apabila berjaya memperoleh 4789 undi mengenepikan pencabarnya Wan Mohd. Madehi Wan Ali dari PBS (2026 undi), Hud Andri Zulkarnaen Hamden (Amanah- 91 undi) dan Mohamad Asri Kassim (PBK- 208 undi).

Namun jika dibandingkan dengan penampilan pertama Chee pada PRN 11 ( 2016), majoriti yang diperoleh pada kali ini menyusut sebanyak 822 undi. Dalam PRN 11 Chee memperoleh 5069 undi dengan majoriti sebanyak 3585 undi.

Di DUN Kalaka, muka baharu Mohamad Duri yang menggantikan Datuk Abdul Wahab Aziz turut mencatat kemenangan sulung dengan memperoleh 3893 undi untuk menafikan cabaran lawan Linang Chapum ( PBK-457 undi) dan John Antau Linggang ( PSB-1025 undi). Calon GPS ini memperoleh majoriti sebanyak 2868 undi.

Manakala di DUN Krian, seorang lagi muka baharu, Friday Belik yang mewakili GPS turut mencatat kemenangan sulung apabila memperoleh 3885 undi berbanding lawannya Musa Dinggat (PSB-2953),Danny Kuan ( PBK-282 undi) dan Ali Biju ( Bebas-1777 undi).

Walaupun kedua-dua calon terbabit merupakan muka baharu, belum ada ranking dan trek rekod dalam senarai wakil rakyat negeri namun rakyat di kawasan terlibat tidak sangsi dengan kelibat calon berkenaan kerana mereka ditunjangi oleh GPS yang dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang hebat dan ada rekod cemerlang dalam pentadbiran negeri Sarawak.

Kesimpulannya, berdasarkan keputusan berkenaan pengundi di tiga kawasan berjiran ini mahukan ‘penangan keramat’ GPS untuk membawa perubahan dan pembangunan yang lebih pesat dan terancang untuk penduduk di kawasan terlibat agar tiada lagi isu-isu berkaitan pembangunan asas membelenggu penduduk dan merencatkan sokongan kepada GPS pada masa akan datang.

Penduduk di kawasan terlibat tidak mengharapkan sesuatu yang terlalu drastik tetapi biarlah sesuatu usaha ke arah perubahan ada dilakukan dan berlangsung secara berterusan dan tidak bermusim atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru