Sunday, May 22, 2022

Penghormatan daripada penduduk di Satok, kata Ibrahim Baki

Secara Rawak

KUCHING: Calon Satok, Datuk Ibrahim Baki menyifatkan kemenangan beliau di  DUN Satok sebagai  satu penghargaan dan penghormatan rakyat yang memberi sokongan kepada  Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus  berjuang dan berkhidmat di kawasan itu.

“Kejayaan ini ialah satu kemenangan yang amat bermakna bukan saja kepada parti, tetapi juga kepada seluruh pengundi dan rakyat di kawasan ini,” katanya.

Ibrahim, orang kanan Ketua Menteri meraih  6,991 undi menewaskan calon PKR, Datuk Dr Nor Irwan Ahmad yang hanya mendapat 958 undi. Manakala calon PBK, Awang Badele Awang Ali mendapat 415 undi.

Dengan itu, Ibrahim mendapat 6,033 undi majoriti.

Menurut beliau yang juga Timbalan ketua Bahagian PBb Satok, kemenangan itu sebenarnya ialah tanda dan bukti sokongan padu penduduk dan pengundi pelbagai kaum di situ terhadap GPS dan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membawa kawasan ini dan Sarawak pada keseluruhannya ke hadapan sebagai negeri maju.

“Sesungguhnya, bagi saya, legasi, perjuangan dan pengorbanan Datuk Patinggi  telah   banyak membantu kemenangan saya di sini,” katanya kepada Sarawak Voice

“Saya menerima kemenangan ini dengan rendah hati dan penuh sedar  bahawa amanah dan tanggungjawab yang diletakkan di bahu saya dan pasukan kami di Satok amatlah besar,” katanya.

“Insya-Allah, kami akan ambil langkah dan tindakan yang selari dengan harapan serta aspirasi penduduk di kawasan ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau  merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada para pengundi yang telah sanggup mengorbankan masa dan tenaga  malah wang ringgit  untuk memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya seluruh jentera parti serta pasukan kami  yang telah berpenat lelah dan banyak berkorban  untuk sekian lama, lebih-lebih lagi dalam tempoh berkempen, demi memastikan kemenangan GPS di sini,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru