Tuesday, August 16, 2022

GPS menang penuh bergaya dalam PRN-12

Secara Rawak

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mengekalkan tampuk pemerintahan di negeri selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12), semalam.

Sekali gus melakukan tsunami ke atas pembangkang dengan kejutan selepas memenangi sebahagian kerusi tradisi milik pembangkang termasuk di kawasan bandar.

GPS yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu berjaya menguasai sejumlah 75 daripada 81 kerusi diumumkan Sabtu.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, keputusan bagi kerusi Mulu ditangguhkan dan akan diumumkan Ahad.

“Keputusan bagi kerusi Mulu tidak diumumkan hari ini dengan mengambil kira faktor keselamatan petugas pilihan raya yang menggunakan helikopter untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan rasmi undi.

“Ia berikutan cuaca buruk dan juga terputus hubungan darat. Sehubungan itu, keputusan akan diumumkan sebaik sahaja menerima peti undi berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, malam ini.

Sementara, parti pembangkang – PSB yang dijangka memberi tentangan sengit setakat ini cuma menang di empat kerusi iaitu Ba’Kelalan, Engkilili, Batu Lintang dan Bawang Assan.

Manakala DAP hanya memenangi dua kerusi iaitu Padungan menerusi pengerusinya, Chong Chieng Jen serta Pending menerusi Violet Yong.

Secara keseluruhan, pembangkang hanya memenangi enam kerusi yang ditandingi.

Terdahulu, sejumlah 349 calon layak bertanding pada PRN-12 sekali gus merekodkan jumlah calon terbanyak dalam pilihan raya Sarawak sejak 1969.

GPS menampilkan calon paling ramai iaitu 82 orang di kesemua Dun, diikuti PBK (73), PSB (70), PKR (28), PBDSB (11), Amanah (8), Parti Sedar Sarawak (5), PAS (1) dan 30 orang calon bebas.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru