Wednesday, June 29, 2022

APM segera tinjau keadaan rumah dipukul ribut

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 21 buah rumah di Taman Moyan Utama di Jalan Bau-Batu Kawa di sini rosak dipukul ribut kuat hari ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuching berkata kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 2.29 petang turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

Katanya, Anggota APM Daerah Kuching diketuai Leftenan Md Shahrul Buang bersama empat orang anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3.07 petang mendapati rumah yang terkesan mengalami kerosakan pada atap dan siling dalam rumah.

“Banyak rumah mengalami kerosakan dan tidak selamat diduduki kerana siling rumah boleh roboh pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, APM Daerah Kuching menyarankan agar penduduk berpindah berikutan keadaan rumah yang tidak begitu selamat untuk diduduki.

Katanya, segala persiapan untuk pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dilakukan namun penduduk tidak mahu berpindah ke PPS sebaliknya berpindah ke rumah saudara mara terdekat.

APM Daerah Kuching kini sedang membuat pemantauan dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru