Tuesday, August 9, 2022

Surat: Risiko anggap lebuhraya seperti litar lumba

Secara Rawak

Terdapat sesetengah pihak yang masih menganggap lebuhraya yang dikongsikan bersama sebagai litar lumba. Ini jelas ternyata apabila ramai pemilik kenderaan yang memecut dan memandu secara merbahaya belakangan ini.

Saya sendiri berdepan dengan situasi tersebut minggu lepas ketika perjalanan balik ke Kuala Lumpur apabila satu robongan “supercar” memecut dan memandu secara laju di lebuhraya Utara Selatan tanpa menghiraukan had laju serta peraturan trafik. Ingin diingatkan yang aksi mereka hanya akan mendatangkan padah dan mengundangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Perkara ini bukan asing di negara kita. Kegiatan lumba haram, pemanduan bahaya serta laju adalah sikap yang masih membelenggu pengguna jalan raya sejak dulu tanpa mengira jenis kereta berkuasa atau tidak.

Ingin saya jelaskan di sini yang tiada sesiapa pun mempunyai hak untuk berbuat demikian. Ia adalah tidak adil untuk orang lain untuk menanggung bala yang mungkin terjadi akibat daripada sikap dan mentatliti sesetengah pemandu yang degil serta pentingkan diri sendiri.

Ini bukan persoalan kompromi kerana apa yang pasti adalah sikap pemanduan secara laju dan bahaya hanya akan meningkatkan risiko kemalangan maut namun masih terdapat mereka yang ingkar dan degil.

Negara masih bertarung dengan pandemik Covid-19. Para petugas barisan hadapan perlu berdepan dengan banyak perkara yang lebih mustahak.  Oleh itu, mereka yang masih tidak mahu bertaubat mungkin ini adalah masa yang terbaik untuk melakukan muhasabah diri.

Perlu ingat yang malang tidak berbau. Sayangilah nyawa anda serta orang lain. Jangan ambil risiko yang tidak perlu.

Yeap Ming Liong
Subang Jaya, Selangor

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru