Sunday, September 25, 2022

Pusat mengundi di DUN Kabong berjalan lancar, Nyabor jadi perhatian

Secara Rawak

KABONG: Proses pengundian di kawasan DUN N. 40 Kabong berjalan dengan lancar dengan pengundi mula memasuki tempat mengundi seawal jam 7.30 pagi.

Keadaan cuaca yang pada awalnya hujan renyai-renyai nyata tidak menghalang pengundi untuk hadir awal menunaikan tanggungjawab.

Sarawak Voice melakukan tinjauan di kawasan pusat mengundi di Nyabor yang dikategorikan sebagai kawasan yang akan menyaksikan pertembungan undi yang menarik kerana calon GPS, Mohd. Chee Kadir dikatakan akan diberi saingan sengit oleh calon PSB, Wan Mohamad Madehi Wan Ali yang merupakan anak jati Nyabor.

Selain PSB, calon PBK, Asri Kassim dan calon Amanah, Hud Andri turut mencuba nasib bertanding di sini.

Daripada pemerhatian awal kebanyakan yang turun mengundi awal adalah terdiri daripada golongan dewasa yang berumur sekitar 40 tahun ke atas.

Dan golongan muda pula hanya sekitar 30 peratus sahaja setakat jam 10 pagi.

Di pusat mengundi SK. To’ Eman Nyabor dibuka dua saluran mengundi iaitu saluran 1 dan saluran 2 yang melibatkan seramai 854 pemilih berdaftar.

Calon yang bertanding turut muncul di pusat mengundi bagi melihat sendiri perjalanan proses pembuangan undi pada pagi ini.

Perkembangan lanjut untuk PRN 12 akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Calon GPS Mohd. Chee Kadir (kanan) dan wakil PSB, Wan Kamarulzaman (kiri) ketika meninjau pusat mengundi di Nyabor.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru