Saturday, June 25, 2022

Perbalahan dalaman parti demi khidmat terbaik kepada rakyat, SUPP

Secara Rawak

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching tidak mempunyai hak sebenar untuk menamakan calon.

Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara tersebut termaktub dalam perlembagaan parti yang mana parti cawangan berhak menyatakan calon mana yang patut bertanding di cawangan mereka.

Beliau berkata demikian dalam merujuk kepada perbalahan dalaman di cawangan parti berhubung keputusan meletakkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng bagi kerusi Padungan pada Pilihan Raya Sarawak ke-12.

Jelasnya, perbalahan tersebut hanyalah disifatkan sebagai pergaduhan kekeluargaan dalam memastikan parti dapat memberikan terbaik kepada rakyat.

Pada Isnin (13 Dis), ketua bahagian Kuching Datuk Lily Yong mendakwa Wee bukan antara dua nama yang dicadangkan kepada kepimpinan parti untuk bertanding di Padungan yang menyebabkan cawangan itu membubarkan jentera partinya sebagai membantah pencalonan Wee.

“Itu perkara biasa dalam parti dan kita anggap sebagai gaduh keluarga, jelas dalam perlembagaan parti kita, tidak pernah dinyatakan bahawa parti cawangan mempunyai hak untuk menamakan calon.

“Misalnya, saya sendiri bukan dari SUPP cawangan Batu Kawah tetapi saya pengerusi SUPP cawangan Pending, namun saya adalah YB Batu Kawah (wakil rakyat),” jelas beliau.

Justeru katanya, apa yang penting ketika ini adalah semua ahli parti perlu berganding bahu untuk memahami bahawa kepentingan parti adalah mengikut kepentingan tertinggi parti, bukan kepentingan peribadi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru