Saturday, June 25, 2022

Pemimpin Amanah mohon maaf kepada penganalisis politik

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Amanah Negeri Melaka, Jamzuri Ardani menjadi pemimpin parti itu yang terkini terpaksa memohon maaf kepada penganalisis politik, terkemuka tanah air, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Ini menjadikan Jamzuri sebagai pemimpin keempat daripada Amanah yang akhirnya berbuat demikian dalam tempoh empat bulan ini kepada Dr Kamarul iaitu pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Permohonan maaf Jamzuri kepada Dr Kamarul itu kerana muat naik di Facebook beliau bertarikh 5 April 2020, di mana telah direkodkan di depan Hakim Mahkamah Sesyen 7, Lailatul Zuraida Harron @ Haron, di sini semalam.

Jamzuri  telah menarik balik kenyataan beliau dalam muat naik di Facebook peribadinya itu yang menyentuh beberapa dakwaan langsung mengenai atau ke atas Dr Kamarul.

Beliau mendakwa Dr Kamarul seorang yang terlalu naif; hanya mampu mengeluarkan kenyataan yang merupakan satu provokasi politik bodoh; dan bukan ahli akademik yang cerdik dan berprinsip, serta menjadi kuda tunggangan orang politik.

Peguam Dr Kamarul, Mohd Harris Mohan Abdullah dari The Law Office of Mohd Harris, ketika dihubungi mengesahkan permohonan maaf Jamzuri kepada Dr Kamarul itu melalui sesi mediasi sebelum bicara penuh dimulakan semalam.

“Dr Kamarul sangat teruja dengan perkembangan ini dan sekarang ini kami mahu lebih fokus kepada beberapa kes besar yang sedang saya kendalikan. Termasuk saman-saman beliau terhadap Khalid Samad, Hanipa Maidin, Lim Guan Eng, Hannah Yeoh, Steven Sim dan Datuk Kadir Jasin,” katanya.

“Selain itu, seorang lagi peguam, iaitu Faidhur Rahman Abdul Hadi juga sedang mengendalikan kes-kes saman beliau terhadap 6 pemimpin besar DAP lain, iaitu Lim Kit Siang, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh dan Dr Ramasamy.

“Kami menaruh keyakinan tinggi kami akan memenangi sebahagian besar daripada kes-kes saman ini seterusnya memulihkan balik imej dan kewibawaan Dr Kamarul yang selama ini cuba dicemar oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Mohd Harris lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru