Saturday, June 25, 2022

Manifesto GPS untuk semua rakyat Sarawak 

Secara Rawak

LINGGA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai misi dan visi yang sangat jelas untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak kerana memiliki hala tuju yang teratur untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang dengan adanya manifesto yang merangkumi semua rakyat Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pemimpin parti yang bertanding mempunyai rekod prestasi setanding Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Ketua Menteri merangkap Pengerusi GPS mengatasi semua pemimpin parti dalam prestasi dan perkhidmatan di samping bijak mencari peruntukan kewangan bagi Sarawak.

Demikian jelas Datuk Amar Douglas Uggah selaku Pengarah Operasi GPS semasa berucap dalam Program Randau Pertanian (Agriculture Community Outreach Program) di Rumah Panjang Mathew J. Punpun di Gran Stumbin, pada Khamis.

Program yang dikelolakan oleh Pejabat Pertanian itu bertujuan untuk mendedahkan kepada masyarakat mengenai tanaman moden masa kini sekaligus berupaya membentuk petani moden dimasa akan datang.

Dalam program itu, beliau turut menyaksikan calon (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, melafazkan ikrar bahawa akan berkhidmat melaksanakan tanggungjawab menjaga kawasan dan pengundinya dengan adil sekiranya memenangi pilihan raya.

Dayang Noorazah, Graduan Sarjana Muda Perakaunan dan Perdagangan itu telah diperkenalkan untuk membawa penduduk di kawasan DUN Lingga keluar daripada permasalahan akibat pandemik COVID-19.

Semasa berucap, Dayang Noorazah berjanji, tidak akan memandang mudah amanah yang diberikan kepadanya.

Datuk Amar Douglas juga mengingatkan bahawa beliau sentiasa memerhatikan gerak kerja Dayang Noorazah untuk memastikan janjinya itu dikotakan.

Calon termuda GPS itu melafazkan ikrar dihadapan Datuk Amar Douglas Uggah bersama Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dato’ Simoi Peri disaksikan kira-kira 200 orang penduduk yang hadir melibatkan 32 tuai rumah panjang di kawasan tersebut.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru