Saturday, June 25, 2022

Keluar mengundi ikut masa dicadang SPR esok

Secara Rawak

KUCHING: Lebih daripada sejuta pengundi  bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) esok dinasihati supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak,  sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, mereka masih boleh mengundi mengikut kelapangan masa dari 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

Jelasnya,  suruhanjaya itu melalui aplikasi MySPR Semak telah meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi.

“Namun demikian, pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi nanti,” menurutnya dalam kenyataan.

Sebanyak 349 calon daripada pelbagai parti politik bersaing merebut 82 kerusi DUn Sarawak.

Katanya pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian disaran terus ke saluran mengundi yang ditetapkan dan mereka juga disaran membuat semakan awal sebelum hari mengundi melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran mencatat dan menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya.

Ikmalrudin turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran bagi memudahkan proses semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru