LAWAS: Penyandang kerusi Ba’ Kelalan, Baru Bian dilaporkan berdepan tentangan sengit daripada calon GPS, Sam Laya dalam pertandingan lima penjuru dalam PRN, esok.
Menurut sumber risikan akar umbi, Baru Bian kemungkinan besar akan kecundang di kerusi yang telah ditawannya untuk dua penggal berturut-turut.
Dalam PRN pada 2016, aktivis tanah adat bumiputera itu berjaya mempertahankan kerusi Lun Bawang itu hanya dengan 538 undi.
Majoriti tipis itu menyebabkan kedudukan Baru goyah, apatah lagi beliau dilihat telah banyak kali melompat parti.
Alasan utama mengapa beliau bakal ditolak adalah kerana Baru didakwa tidak membawa banyak pembangunan ke kawasan itu walaupun pernah menjadi Menteri Kerja Raya ketika pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan.
Masyarakat Lun Bawang dikatakan bakal memberi laluan kepada Sam, juga anak Lun Bawang, kerana ingin melihat pembangunan di kawasan itu.
Sam disokong kuat oleh Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.
Rangkaian jentera akar umbi yang kuat di pihak GPS akan memberi kelebihan kepada Sam.
Baru ialah Ahli Parlimen Selangau, kawasan majoriti Iban.