Saturday, January 22, 2022

Jangan undi Ali, kata Muhyiddin

Secara Rawak

KUCHING: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengingatkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian supaya tidak memangkah calon Bebas, Ali Biju, pada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, 18 Dis ini.

Beliau berkata, sebaliknya, sokongan padu perlu diberikan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik, meskipun nama Ali terpapar di kertas undi.

“Perkara itu sudah dijelaskan oleh Ali Biju dan beliau tidak bertanding. Jadi, beliau sudah beritahu pengundi jangan pangkah dia dan saya pun cakap sekarang ini, jangan pangkah dia. Kita perlu berikan undi kepada GPS untuk kerusi itu (Krian),” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negeri edisi Sarawak seperti dipetik Bernama.

Pada 6 Dis lalu, Ali yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak, mengesahkan beliau bertanding di DUN Krian sebagai calon Bebas, sebelum mengumumkan menarik diri dan meminta penyokongnya menyokong Friday.

Muhyiddin turut mengesahkan tiga lagi ahli Bersatu yang bertanding dalam PRN Sarawak atas tiket calon Bebas telah digugurkan keahlian secara automatik, susulan tindakan mereka bercanggah dengan perlembagaan parti.

Mereka ialah Siki Balarik yang bertanding di Belaga, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru