Friday, August 19, 2022

Jangan terpengaruh dengan kempen toksik

Secara Rawak

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menggesa agar rakyat tidak termakan dengan kempen politik toksik.

Menurutnya, kempen yang dijalankan secara norma baharu dengan memanfaatkan media sosial turut menjadi saluran kempen tidak sihat.

Malah beliau turut mengakui terkena tempias isu berkenaan selepas menerima beberapa pesanan yang dihantar terus ke telefon bimbitnya.

“Saya menerima banyak mesej yang mengandungi kata-kata beremosi, berita palsu dan khabar angin yang tidak betul, saya pun tidak tahu bagaimana mereka memperoleh nombor telefon saya.

“Bagi saya, ini adalah taktik kotor dan toksik dalam berkempen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP di sini pada Khamis.

Justeru Dr Sim menyeru masyarakat untuk tidak termakan dengan taktik kotor itu dan bijak menilai sendiri pretasi yang telah dibawa oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS)

“Nilailah kami menerusi rekod yang kami bawakan, nilailah kami berdasarkan karakter kami serta pembangunan yang telah dibawakan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan agar rakyat mengambil langkah berani untuk mengubah pemimpin yang tidak membawa sebarang perubahan walaupun telah mewakili sesuatu kawasan dalam tempoh yang lama.

Kawasan Padungan, Pending dan Batu Lintang katanya telah lama menjadi kubu kuat parti pembangkang, tetapi tiada pembangunan dibawakan.

“Ada kawasan diwakili ADUN lebih 10 hingga 15 tahun, orang yang sama dengan hasil yang sama, tiada perubahan.

“Jadi ambil peluang ini untuk melaksanakan perubahan demi masa depan yang lebih cerah dengan pembangunan yang berterusan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru