Saturday, June 25, 2022

Pengundi dinasihati ikut masa dicadang SPR Sabtu ini

Secara Rawak

KUCHING: Hanya berbaki sekitar  36 jam lagi untuk sekitar 1.25 juta pengundi Sarawak membuat perhitungan.

Hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak Sabtu ini akan menyaksikan pertarungan antara GPS dengan parti pembangkang terutamanya DAP, PSB dan PKR.

Parti-parti lain disifatkan pemerhati tidak memberi tentangan sengit.

SPR menyasarkan 70 peratus turun mengundi ketika pengamat politik bimbang peratusan itu sukar dicapai.

Justeru, SPR menyarankan  para pengundi  supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, maklumat masa keluar mengundi yang Digalakkan untuk setiap pengundi boleh disemak menerusi aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang diwartakan di pusat mengundi masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun, pengundi dinasihati agar tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan dan garis panduan khas pencegahan Covid -19 pada hari mengundi.

Selain itu, para pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

Pengundi juga dinasihatkan untuk menyimpan kad pengenalan mereka dengan selamat dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain kecuali petugas pilihan raya di pusat mengundi masing-masing.

“SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada hari Sabtu ini,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru