Thursday, May 19, 2022

Peratusan undi awal meningkat, indikator kepada ‘The Day’ ?

Secara Rawak

KUCHING: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak yang berlangsung pada 14 Disember, berjalan lancar dengan 89 peratus atau 18,141 orang telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Sebanyak 85 pusat mengundi dibuka sejak jam 8 pagi bagi membolehkan seramai 23,043 pengundi awal membuang undi.

Daripada jumlah tersebut, 12,585 adalah anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), manakalan 10,458 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan.

Berdasarkan peratusan keluar mengundi, ia menunjukkan peningkatan berbanding PRN11.

Pada PRN11, peratus keluar mengundi ialah 72 peratus daripada 24,604 pengundi awal.

Namun bagaimana pula dengan hari mengundi pada 18 Disember ini, adakah angka tersebut akan terus meningkat atau sebaliknya.

Pada 2016, sejumlah 70.01 peratus atau 777,018 pengundi telah hadir bagi membuang undi di kesemua 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Mengambil kira statistik daripada pengundian awal, ia memberi satu indikator yang baik mahupun keyakinan rakyat untuk keluar mengundi.

Malah dengan penetapan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pelaksanaannya memberikan jaminan bahawa tahap keselamatan pengundi dan petugas sentiasa diutamakan dan terjamin.

Dengan beberapa kaedah dan SOP yang diperkenalkan dan dilaksanakan pada hari mengundi awal, sudah tentu ia boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk memastikan keberkesanannya.

Secara tidak langsung ia memberikan keyakinan kepada rakyat khususnya pengundi berdaftar untuk bersama-sama keluar menjalankan tanggungjawab dalam mengamalkan demokrasi.

Harus diingat bahawa hari mengundi sebenar atau ‘The Day’ kelak bilangan pengundi hadir ke pusat pembuangan undi adalah lebih ramai jika dibandingkan dengan pengundian awal.

Dengan pelbagai aneka ragam yang bakal disaksikan, ia memerlukan komitmen tinggi dari pelbagai aspek termasuk pematuhan SOP yang ditetapkan.

Malah ada yang meramalkan peratusan keluar mengundi akan menurun disebabkan dilema pengundi yang masih takut atau khuatir akan keselamatan mereka susulan penularan wabak COVID-19.

Namun dalam keraguan itu, tanggungjawab masih juga ditunaikan dalam menentukan dan memilih tampuk pentadbiran baharu untuk menerajui Kerajaan Negeri Sarawak bagi tempoh lima tahun seterusnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru