Thursday, October 6, 2022

Mentor vs Protege, Ranum sifatkan Billy ghairah jadi wakil rakyat

Secara Rawak

KUCHING: Pertandingan di DUN Opar, antara yang menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini apabila menyaksikan pertandingan antara mentor dan protege, iaitu calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Ranum Mina dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Billy Sujang.

Justeru, ia bakal menjadi penentu bagi Ranum, sama ada mampu mempertahankan kerusi yang disandangnya selama empat penggal itu atau mungkin terpaksa akur kepada anak didiknya, Billy yang berpotensi menang.

Ranum berkata sememangnya sudah menjangkakan Billy akan bertanding mewakili GPS, sambil menyifatkannya terlalu ghairah hendak menjadi calon dan terlalu ingin menjadi wakil rakyat.

“Walaupun ada di kalangan orang kami beritahu jangan dulu, kerja dulu, sedangkan adik-beradiknya juga ada beritahu dia tunggu dulu tetapi dia sudah terlalu ghairah untuk menjadi calon, maka akan menjadi pertembungan,” katanya yang ditemu-bual.

Manakala menjelaskan mengenai pengekalannya bertanding, Ranum berkata ia atas dasar kehendak rakyat.

Katanya ia kerana beliau membawa nama PSB, yang dilihat sebagai sebuah parti baharu walaupun ia hanya dijenamakan semula daripada Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Rakyat masih mahukan saya sekali lagi untuk bertanding…walaupun saya beritahu cari orang lain lagi, mereka cakap sekali lagi dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, Ranum yakin masih boleh menawan DUN Opar, berdasarkan reaksi orang ramai ke atasnya.

Sementara apabila ditanya mengenai sokongan belia kepadanya, Ranum menjawab “kalau belia boleh mengundi (Undi 18), saya punya pengaruh lagi luas.”

Jelasnya, ia kerana selama menjadi wakil rakyat, beliau memang menjaga belia seperti menubuhkan kelab sukan komuniti kawasan Opar, yang setiap tahun telah menganjurkan pertandingan bola sepak, sepak takraw, pertandingan bola tampar, futsal termasuk dengan belia-belia wanita.

“Kalau belia dapat mengundi, mungkin saya mempunya majoriti lebih besar lagi kerana tiap-tiap kampung saya beritahu mereka untuk menubuhkan jawatankuasa sukan.

“Saya cuba cari peruntukan dan agihkan kepada setiap kelab sukan di kampung termasuk geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP), dan kemudian menganjurkan pertandingan atau sebagainya,” katanya.

Namun demikian, Billy enggan bercakap mengenai mentornya, Ranum sebaliknya hanya menyifatkannya sebagai bukan calang-calang kerana beliau telah bertapak di DUN Opar selama empat penggal.

Beliau berkata persaingan harus diteruskan dan beliau komited untuk memastikan kemenangan berpihak kepadanya dan GPS.

“Saya rasa kita boleh menang sekiranya semua komponen dalam GPS bersatu menjalankan tugas masing-masing untuk memenangi hati rakyat,” katanya yang juga ditemu-bual.

Dalam pada itu, Billy berharap belia di kawasan Opar berfikiran terbuka dan dapat memberi sokongan kepadanya.

“Saya akan berusaha (mendapatkan keyakinan belia) dan itulah sasaran saya kerana mahu membawa belia ini naik ke atas, maksud saya dari segi peluang-peluang pendidikan, teknikal yang akan dilaksanakan di dalam DUN Opar nanti,” katanya sambil menambah akan memperbanyakkan program bersama belia jika diberi mandat sebagai wakil rakyat.

DUN Opar menyaksikan pertembungan enam penjuru, iaitu antara Ranum (PSB), Billy (GPS), Bayang Teron (Parti Sedar Rakyat Sarawak – SEDAR), Meneng Biris (Parti Keadilan Rakyat-PKR), Freedy Misid (Parti Bumi Kenyalang-PBK) dan Saini Kakong (Parti Bansa Dayak Sarawak Baru-PBDSB).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru