Saturday, August 20, 2022

Undilah GPS untuk Sarawak yang lebih baik, kata bekas Adun Dudong

Secara Rawak

KUCHING: Bekas Adun Dudong Datuk Tiong Thai King yakin dengan rakyat mengundi Gabungan Parti Sarawak (GPS), ia dapat memastikan kadar pembangunan serta kemajuan negeri ini dicapai dengan lebih pantas.

Menurutnya, kerajaan GPS yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menetapkan model teladan keharmonian kaum, keterangkuman dan kesaksamaan dalam pentadbiran.

“Sejak Abang Johari memegang jawatan Ketua Menteri, kita telah menyaksikan kebijaksanaan politik beliau dalam dasar sederhana, adil dan inklusif.

“Ideologi politik beliau yang mengutamakan rakyat dan pembangunan dari akar umbi telah diterima baik oleh rakyat Sarawak pelbagai kaum.

“Saya yakin bahawa mengundi untuk GPS, kerajaan yang sederhana, inklusif, pelbagai, bersatu, harmoni dan bekerjasama amat penting untuk Sarawak dalam memastikan kadar pembangunan dan kemajuan diperoleh dengan pantas,” katanya.

Tiong yang dahulunya merupakan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kemudian menyertai parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) meluahkan kenyataan itu dalam coretannya ‘seekor burung kecil, terbang ke sarang – rayuan daripada bekas Adun Dudong’.

Beliau yang sudah meninggalkan dunia politik turut menyatakan kekagumannya terhadap Abang Johari kerana atas usaha Pengerusi GPS itu berunding dan meneruskan tindakan undang-undang dalam menuntut royalti minyak dan gas daripada Petronas.

“Usaha untuk mendapatkan autonomi Sarawak telah dimulakan oleh mantan Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Pehin Adenan Satem dan diteruskan Abang Johari.

“Secara perlahan-lahan kita melihat hak, penghormatan dan status Sarawak dikembalikan. Malah sejak tiga tahun lalu, kita berjaya memperoleh RM7 bilion royalti minyak dan gas. Ini menunjukkan sepenuhnya keberanian politik, ketajaman dan pandangan jauh Abang Johari.

“Beliau juga telah menyusun rancangan besar, memetakan serta memodenkan pelan tindakan ekonomi untuk mendigitalkan dan memperindustrikan melalui teknologi demi manfaat rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, Abang Johari juga telah menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM10 juta untuk sekolah menengah Cina persendirian serta bantuan lain untuk pertubuhan Cina dan badan agama.

“Ini semua membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang baik, berjiwa besar dan akan melayan rakyat Sarawak daripada pelbagai kaum serta lapisan secara adil dan saksama.

“Oleh itu, undi untuk GPS, esok yang lebih baik untuk Sarawak!,” katanya lagi.

Tiong terlibat dalam dunia politik lebih 30 tahun dan pernah berkhidmat sebagai senator, ahli parlimen, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu dan Adun Dudong selama sepenggal bermula 2016 hingga 2021.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru