Saturday, August 20, 2022

Luahan hati bekas Adun PSB Dudong

Secara Rawak

KUCHING: Parti pemerintah kerajaan Sarawak telah membawa banyak pembangunan dan transformasi untuk Dun Dudong, kata bekas Adunnya Datuk Tiong Thai King.

Menurutnya, jika beliau memilih untuk mengikut cara pembangkang sejak awal, pasti rakyat tidak akan melihat semua perubahan, perkembangan serta pembangunan di Dudong hari ini.

“Justeru, jika ingin membangun dan mencapai kemajuan khususnya di kawasan luar bandar, kita mesti memilih Adun atau ahli parlimen yang berkebolehan serta berwibawa yang mempunyai keinginan ikhlas untuk berkhidmat di kawasannya.

“Ini adalah pilihan yang paling pragmatik dan ideal. Sokongan sepenuh hati rakyat telah menjadi motivasi terbesar saya dan menjadi kebanggaan serta penghormatan untuk berkhidmat kepada penduduk Dudong,” katanya yang sudah meninggalkan dunia politik selepas lebih 30 tahun.

Tiong yang dahulunya merupakan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kemudian menyertai parti pembangkang, Parti Sarawak Bersatu (PSB) meluahkan kenyataan itu dalam coretannya ‘seekor burung kecil, terbang ke sarang – rayuan daripada bekas Adun Dudong’.

“Perubahan arah politik secara tiba-tiba menjadikan saya seorang Adun pembangkang dalam tempoh dua setengah tahun terakhir penggal saya. Saya mempunyai banyak rancangan pembangunan dan visi yang belum selesai namun dihentikan kerana kekurangan dana.

“Saya terpaksa membantu pengundi dengan menyeluk poket sendiri tetapi jumlahnya masih terhad dan tidak mencukupi. Oleh itu, saya mempunyai rasa bersalah kepada pengundi dan ini telah menjadi penyesalan paling besar bagi saya dalam kerjaya politik,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya sesuatu kawasan itu mahukan lebih banyak pembangunan dan peningkatan kualiti hidup rakyatnya, menyertai parti kerajaan pemerintah adalah jalan yang paling berkesan.

“Saya tidak menafikan peranan pembangkang untuk bertindak sebagai ‘check-and-balance’ terhadap kerajaan dalam sebuah negara demokrasi.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya dalam realiti politik, hanya jika kita mempunyai akses yang baik kepada sumber pembangunan dan pembiayaan dengan memilih Adun kerajaan, kita boleh memenuhi keperluan pembangunan dan tuntutan rakyat dengan sebaiknya,” katanya.
Mengimbas kembali hari terakhir beliau di DUN pada 2020 sewaktu PSB ditukar ke blok pembangkang, katanya beliau berdiri lama dan takut untuk mengambil tempat duduk.

“Jauh di lubuk hati saya berfikir dan bergelut dengan diri sendiri, “Bagaimana saya akhirnya menjadi ahli pembangkang?” Penyertaan saya dalam politik, menyertai SUPP, telah dibimbing oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai, dan kemudiannya dengan PSB (sebelum ini UPP).

“Saya menyertai politik dengan harapan untuk menyertai kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pantas dan baik kepada negeri ini.

“Apabila landskap politik berubah, saya tidak mempunyai pilihan lain selain mengikut barisan parti. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Tetapi apabila realiti tersasar daripada aspirasi politik, saya berasa pasrah dan tidak berdaya serta sangat sedih,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau tetap berterima kasih dan menghargai sokongan serta kasih sayang yang telah lama diberikan pengundi di Dudong. Beliau berbangga kerana telah menyaksikan kemajuan dan pembangunan yang telah dilakukan di Dun tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru