Saturday, August 20, 2022

Jangan terpedaya dengan diayah parti pembangkang

Secara Rawak

SPAOH: Rakyat negeri ini diingatkan tidak mudah terpedaya dengan diayah parti pembangkang kononnya akan menjadi pemimpin terbaik apabila mentadbir Sarawak nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hanya Gabungan Parti Sarawak (GPS)  mampu memberikan kemudahan dan manfaat kepada rakyat.

“Mereka (pembangkang) mendakwa boleh memerintah negeri ini malah mempunyai ahli profesional. Bahkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini juga berkata sedemikian.

“Bagaimanapun akhirnya, itu hanya retorik malah Kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan mentadbir kerana tidak menepati janji-janji,” katanya pada sesi bersama rakyat di perkarangan Masjid Spaoh di sini.

Dr Wan Junaidi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, rakyat seharusnya menjadikan pengalaman dipimpin Kerajaan PH sebagai pengajaran supaya memilih pimpinan yang terbukti dan berpengalaman pada PRN-12.

Jelasnya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama-sama anggota kabinetnya adalah antara pemimpin yang cemerlang dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Abang Johari merupakan menteri kewangan kami. Beliau mengetahui bagaimana cara menghasilkan pendapatan tambahan untuk membiayai keperluan pembangunan negeri.

“Malah beliau turut memberi kepercayaan kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah untuk mengendalikan pemodenan sektor pertanian bagi melonjakkan pendapatan negeri dan rakyat terutamanya,” ujarnya.

Disebabkan itu katanya, pengundi diminta supaya memberi peluang kepada GPS selama lima tahun lagi untuk meneruskan pelaksanaan rancangan dan program pembangunan mereka.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru