Saturday, August 20, 2022

Sanjan yakin tawan kerusi DUN Mambong

Secara Rawak

PADAWAN: Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) DUN Mambong Sanjan Daik yakin merampas kerusi DUN Mambong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 ini.

Beliau berkata, sejak berkecimpung dalam arena politik tujuh tahun yang lalu dan aktif bergerak di lapangan menyantuni pengundi DUN Mambong.

“Saya tidak pernah berhenti, saya bermula dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan gelaran saya ialah YB dan orang kuat DAP di DUN Mambong.

“Rakyat menerima saya bukan kerana saya orang kuat DAP, saya adalah seorang calon yang dapat memenuhi aspirasi rakyat di sini dan rakyat juga menerima PSB sebagai landasan yang boleh menjadi kerajaan yang dipercayai,” katanya ketika ditemui di Kampung Braang Bayur, di sini hari ini.

Justeru, beliau yakin dan percaya mampu mengalahkan penyandang yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil pada PRN ini.

Dalam pada itu katanya, beliau tidak akan sesekali mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat dengan melompat ke parti politik yang lain sekiranya menang kerusi DUN Mambong.

Malah tegasnya, sekiranya beliau menang, beliau sama sekali tidak akan bekerjasama dengan GPS sekiranya GPS membentuk kerajaan selepas PRN nanti.

“Kemungkinan saya melompat ke GPS adalah kosong. Saya tidak percaya dengan perbuatan melompat parti apabila sudah menang kerana kita mendapat kemenangan dari rakyat.

“Mandat yang rakyat diberikan kepada kita tidak harus dikhianati. Oleh itu, sesiapa yang menang dan melompat parti adalah pengkhianat,” katanya.

Pada PRN-11, dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) bertembung dalam pertandingan tiga penjuru di DUN Mambong.

Sanjan yang bertanding di bawah tiket DAP ketika itu, tewas kepada penyandang DUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil yang meraih 6,161 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Pada PRN itu, Sanjan meraih 2,828 sementara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Willie Mongin meraih 2,645 undi.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru