Saturday, August 20, 2022

Rohani nafi taja bekas setiausaha tanding di Beting Maro

Secara Rawak

Walaupun calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro pernah menjadi setiausaha politik saya, ia tidak bermakna saya menyokong apatah lagi menaja calon Bebas berkenaan, kata Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Timbalan Ketua Wanita II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dalam kenyataanseperti dipetik Bernama berkata beliau memberikan sokongan seratus peratus kepada calon-calon daripada PBB yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 ini, terutamanya penyandang kerusi DUN Beting Maro, Razaili Gapor.

Beliau berkata Razaili bukanlah nama asing dalam kalangan pengundi di Beting Maro kerana sudah dua penggal menabur bakti sebagai wakil rakyat, dan kini sekali lagi beliau diberikan amanah bagi memastikan kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN ini.

Katanya beliau sudah pasti akan menggerakkan seluruh jentera dan keringat yang ada bagi memastikan kemenangan yang besar menjadi milik semua calon-calon GPS.

Saingan bagi kerusi DUN Beting Maro pada PRN ini menyaksikan pertandingan lima penjuru, dengan penyandang Razaili dicabar oleh Safiudin Matsah (Bebas), Jacky Chiew Su Chee (Parti Bumi Kenyalang), Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR), dan Mohammad Arifiriazul Paijo (PAS).

Hari pengundian pada PRN Sarawak ini ditetapkan pada 18 Dis.

Rohani yang juga Pengerusi Sri Aman Development Agency (SADA) berkata Beting Maro adalah salah satu DUN di dalam Parlimen Batang Lupar selain Sebuyau dan Lingga.

Katanya adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan kesemua calon di DUN berkenaan memperoleh mandat daripada penduduk setempat sekali lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru