Saturday, August 20, 2022

Mengapa Abang Johari bertanding di Gedong? Ini jawapan beliau

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan tuduhan pihak tidak tertentu  bahawa beliau tidak bertanding di Satok dalam PRN-12 kerana takut kalah di kerusi berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Menteri menyatakan tindakannya bertanding di Gedong adalah  untuk merancakkan pembangunan di kawasan tersebut.

Gedong terletak sekitar satu jam setengah dari Kuching manakala Satok adalah di tengah-tengah bandar raya Kuching.

Sebanyak 7,208 pengundi Gedong terdiri daripada kaum Melayu dan Iban.

Gedong terletak di kerusi Parlimen Batang Lupar, mempunyai dua lagi kerusi DUN iaitu Lingga dan Sebuyau.

Beliau menjelaskan dua tahun lalu, penyandang Datuk Mohd Naroden Majais telah meminta agar beliau bertanding di Gedong bagi membantu membangunkan kawasan luar bandar.

“Naroden mahu pembangunan di luar bandar terutama kawasan pesisiran meliputi Gedong, Simunjan, Asajaya, Sadong Jaya dan Sebuyau dipercepat,” katanya.

“Jadi, saya pertimbangkan saranan tersebut kerana beliau telah memberi laluan,” katanya.

Beliau menafikan tindakan itu adalah kerana takut tewas di Satok, kawasan yang diwakilinya untuk sembilan penggal sejak 1981.

Beliau berkata demikian dalam bicarawara Sembang Politik anjuran Jiwa Bakti dan Utusan Sarawak pada Khamis.

“Taib telah pindah dari Asajaya ke Mukah, manakala Tok Nan berpindah ke Tanjung Dato,” jelasnya merujuk kepada  mantan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang berpindah dari DUN Muara Tuang.

“Adakah ini tanda mereka takut, adakah Taib dan Adenan takut ketika itu? Tidak. Ini adalah kerana terdapat permintaan daripada penduduk di kawasan itu,’” jelasnya.

Abang Johari menyedari ketika musim kempen pilihan raya begitu banyak berita palsu dan rakyat perlu bijak membuat penilaian.

Adenan meninggal dunia pada 11 Januari 2018, dan digantikan oleh Abang Johari pada 13 Jan.

Dalam PRN pada 2016, Abang Johari telah memenangi kerusi Satok dengan majoriti 5,045 undi menewaskan calon PKR, Mohamad Salleh Shawkatali.

Untuk PRN-12, Satok diwakili timbalan ketua  PBB Bahagian Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru