Saturday, August 20, 2022

Kempen: Calon GPS Baleh telah liputi separuh kawasan DUN

Secara Rawak

KAPIT: Berbaki enam hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak untuk tamat, Nicholas Kudi Jantai mendakwa, beliau dan pasukannya telah ‘masuk’ berkempen di separuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh yang ditandinginya.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, selepas hari penamaan calon pada 6 Disember lalu, beliau melihat reaksi yang sangat positif daripada masyarakat tempatan.

Katanya, beliau berharap penerimaan baik itu akan berterusan dan seterusnya diterjemahkan kepada undian pada 18 Disember depan.

”Saya melihat momentum sokongan rakyat terhadap GPS tidak pudar.

Ini menandakan rakyat di DUN Baleh masih menginginkan kerajaan GPS supaya dapat meneruskan pembangunan yang telah direncanakan di kawasan mereka,” katanya seperti dipetik  TVS selepas melawat Rumah Panjang Tani Kudi, di Tunoh di sini baru – baru ini.

DUN Baleh merupakan satu daripada lima DUN yang terbesar di Sarawak berdasarkan keluasannya iaitu 11,607 kilometer (km) persegi iaitu hampir tujuh kali lebih besar berbanding keluasan Melaka yang mempunyai 28 DUN.

Kawasan ini mempunyai seramai 10,137 pemilih berdaftar sehingga suku kedua tahun lepas dengan 92 peratus terdiri daripada kaum Iban.

Pada PRN Ke -11, mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing mempertahankan kedudukannya di kerusi berkenaan untuk penggal kelapan selepas menewaskan Agop Linsong daripada DAP dengan majoriti 4,793 undi.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu meraih 5,272 undi manakala Agop mendapat 479 undi dalam pertembungan satu lawan satu.

Pada PRN Ke-12 Sarawak ini, DUN Baleh menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Nicholas Kudi akan dicabar oleh Kenneth Usang George (DAP), Sukarno Layau (Parti Bumi Kenyalang) dan Koh Anak Kumbong yang ditampilkan oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Menariknya, kesemua mereka merupakan calon muka baharu yang ditampilkan oleh parti – parti masing.

Bercakap mengenai ‘muka baharu’, Nicholas Kudi berkata, walaupun ini kali pertama turun ke gelanggang pertandingan sebagai calon, beliau tidak berasa kekok kerana sudah biasa dengan persekitaran kawasan berkenaan.

”Kerajaan negeri yang ditadbir GPS mempunyai perancangan untuk terus membangunkan kawasan ini setelah membawa pelbagai perubahan,’ katanya.

” Sebagai contoh, kawasan Bukit Mabong yang merupakan salah satu ikon pembangunan baharu di DUN Baleh juga telah menerima kedatangan jentera GPS yang berkempen,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Snowdan Lawan tidak ‘melihat’ Nicholas Kudi sebagai orang baharu memandangkan ‘pahlawan’ yang ditampilkan parti mempunyai pengalaman lebih enam tahun dalam bidang politik.

” Nicholas (Kudi) merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri. Apa yang kita (GPS) fokuskan ialah politik yang membawa pembangunan kepada rakyat dan inilah yang sedang dilakukan di sini,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru