Thursday, May 19, 2022

Lebih banyak rumah mampu milik

Secara Rawak

KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dun Batu Kawah Datuk Seri Dr Sim Kui Hian melancarkan manifestonya yang memfokuskan kepada empat teras utama dengan visi menjadikan Batu Kawah Maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau yang juga penyandang Batu Kawah berkata, ia termasuk melindungi rumah, pendidikan dan nilai; meningkatkan kualiti hidup dan infrastrutkur; meningkatkan pendapatan dan ekonomi digital serta kebangkitan Sarawak dan Batu Kawah 2.0

“Selepas meletakkan asas dan membina kawasan ini dalam tempoh lima tahun yang lalu, maka lima tahun akan datang akan menjadi transformasi dengan kita tidak meninggalkan sesiapa di belakang.

“Oleh itu, dengan semangat yang sama semasa saya menubuhkan Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, saya melancarkan manifesto Batu Kawah 2021 hingga 2026 ini untuk mentransformasikan sebagai tempat kediaman, bekerja dan beriadah,” katanya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata demikian pada sidang media Pelancaran Manifesto Pilihan Raya Dr. Sim 2012: Majulah Batu Kawah, di sini, semalam.

“Kita di GPS mengambil serius mengenai perkara-perkara yang disenaraikan dalam manifesto yang dilancarkan, sama seperti yang ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari malam kelmarin.

“Bermakna kita akan tunaikan apa yang kita janjikan dalam manifesto, bukan seperti dakwaan pihak pembangkang bahawa manifesto bukanlah kitab suci yang harus dipercayai.

“Justeru itu, menjadi komitmen saya untuk menunaikannya jika terpilih sebagai wakil rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang. Dalam masa yang sama berterima kasih kerana telah memberi peluang untuk saya berkhidmat dan membangunkan kawasan ini dalam tempoh lima tahun yang lalu,” ujarnya.

Tegasnya, antara perkara utama yang disenaraikan dalam manifesto beliau adalah menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik untuk golongan B40 dan M40, pemasangan CCTV dan drone untuk keselamatan (53 unit di 18 lokasi), membina pusat penjaja dengan 400 gerai dan menaik taraf serta membina jalan raya bagi mengurangkan kesesakan.

“Perkara lain adalah membina dan menaik taraf 10 taman rekreasi, pembinaan lebih banyak sistem perparitan, membina stesen pelbagai bahan api Petros dan pembinaan ikonik pusat pentadbiran Batu Kawah.

“Selain itu, kita mahu menjadikan Batu Kawah sebagai destinasi untuk agropelancongan dan ekopelancongan dengan mentransformasikan sungai serta tasik di sini taman untuk pertanian.

“Dalam masa yang sama menubuhkan pusat pemprosesan dan penggumpulan (CCRC) hasil tanaman pekebun tempatan bagi menjadikannya kawasan bakul makanan yang baharu di Kuching,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan akan meneruskan fasa dua dan tiga pembinaan pusat ekonomi untuk riadah, sukan, mesyuarat di Ang Cheng Ho Kuari, membina lebih banyak lampu isyarat pintar, jambatan serta meningkatkan capaian Internet pada tahap maksimum.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru