Saturday, August 20, 2022

Jom, keluar mengundi!

Secara Rawak

KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dun Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menggesa masyarakat khususnya di kawasan tersebut untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada PPRN-12 ini.

Menurutnya, pengundi juga tidak perlu bimbang kerana proses pengundian akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Saya merayu masyarakat dan pengundi di Samariang untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan turun mengundi pada 18 Disember kelak, bagi memilih kerajaan yang akan menerajui Sarawak.

“Insya-Allah pengundian ini akan dijalankan dengan selamat kerana mengikut SOP yang ketat, maksudnya SOP akan dilaksanakan dengan terperinci.

Jadi, jangan susah hati turun mengundi adalah selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual eksklusif dengan Suara Sarawak di Pusat Khidmat Dun Samariang, di sini, semalam. Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan pengundi untuk memilih parti yang menunjukkan rekod baik dan terbukti menjalankan tugas.

“Saya juga merayu agar pengundi kita memilih parti yang ada rekod baik seperti GPS dan menyokong apa-apa yang dilihat di kawasan khususnya di Samariang dan seluruh negeri ini.
“Inilah harapan saya kepada mereka (pengundi) dan berharap agar mereka juga dapat keluar beramai-ramai pada hari tersebut nanti (18 Disember),” tegasnya.

Menurut Hasidah lagi, jumlah pengundi yang berdaftar di kawasan Dun Samariang setakat ini adalah 21,459 orang.

“Justeru, kita mempunyai lapan daerah mengundi, sepuluh pusat pengundi di sekitar kawasan Samariang ini dan mempunyai 50 saluran mengundi,” jelasnya.

Pada PRN kali ini, kerusi Dun Samariang menyaksikan pertembungan tiga penjuru iaitu Sharifah Hasidah (GPS); Abang Halil Abang Naili (Amanah); dan Datuk Othman Abdillah (Sedar).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru