Thursday, May 19, 2022

Calon punya cara tersendiri berkempen

Secara Rawak

KUCHING: Memasuki hari kelima kempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 (Sarawak) setiap parti politik yang bertanding lincah mengatur strategi dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat.

Khususnya dalam usaha meraih sokongan yang akan diterjemahkan kepada undi bagi mendapatkan mandat untuk lima tahun lagi.

Calon-calon kini sudah mula bergerak aktif dalam kempen mereka sejak selesai hari penamaan calon pada 6 Disember lalu.

Segala persiapan yang dibuat, dilaksanakan dan disalurkan menerusi kempen sebelum menghadapi hari besar pada 18 Disember kelak.

Itu akan menjadi detik yang dinantikan para pengundi berdaftar untuk memangkah logo mana yang menjadi pilihan hati.

Semuanya harus bermula dengan kempen, serta manifesto yang ditawarkan, ibarat pecutan akhir sebelum menghadapi peperiksaan selepas sekian mengulang kaji pelajaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum ini menetapkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak membenarkan kempen secara bersemuka bersama penduduk di kawasan yang mempunyai capaian internet.

Di bandar, kemudahan itu sememangnya berada pada tahap terbaik dan boleh dimanfaatkan oleh calon untuk berkempen menggunakan kaedah atau norma baharu.

Platform media sosial dan penghasilan video antara inisiatif terkini yang menjadi pilihan para calon untuk mengetengahkan kempen mereka.

Malah ada juga yang menggunakan kaedah kempen bergerak menggunakan kenderaan yang dilengkapi dengan alat pembesar suara dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat khususnya pengundi di kawasan tertentu.

Bahkan ada juga yang mengambil inisiatif untuk berkempen secara solo, berdiri di kawasan awam atau lampu isyarat seperti yang dilakukan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Fong Pau Teck di Batu Kawah.

Menurutnya, cara itu disifatkan lebih mudah untuk rakyat menyedari keberadaannya di kawasan Batu Kawah.

“Saya akan berdiri di sini, kawasan laluan kenderaan, mereka yang melihat saya di sini.

“Ada yang menyapa, ada yang berhenti di lampu isyarat, saya akan terangkan apa yang mahu diperjuangkan,” katanya.

Baginya, ia juga merupakan cara baharu dan tersendiri dalam mendekati rakyat meskipun tidak secara langsung seperti sebelum ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru