Saturday, August 20, 2022

Bekalan air, elektrik luar bandar

Secara Rawak

ISU bekalan air dan elektrik di luar bandar merupakan fokus Kerajaan GPS yang tidak pernah ada noktah, bahkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Penyandang kerusi Dun Saribas, Mohammad Razi Sitam mengakui dahulu dan kini sangat jauh berbeza. “Dulu-dulu isu tiada air, tiada paip, ada kawasan yang belum sampai saluran paip… tetapi setelah selesai, timbul masalah lain angin ‘mupus’ yang keluar daripada kepala paip tetapi tiada air.

“Namun, dengan usaha berterusan Kerajaan Sarawak yang disokong Kerajaan Persekutuan, Alhamdulillah banyak kawasan telah mendapat liputan bekalan air termasuk di luar bandar dan pedalaman.

“Difahamkan sehingga kini liputan di Sarawak mencapai 99 peratus bagi kawasan bandar dan 66.5 peratus liputan bekalan air bersih dan terawat di luar bandar,” katanya.

Jelasnya, pada masa ini di mana-mana ada sahaja projek untuk menambah baik bekalan air.

“Maknanya, Kerajaan GPS bekerja keras untuk mencapai sasaran bagi melengkapkan liputan bekalan air di seluruh Sarawak beberapa tahun akan datang.

“Bagi saya, inilah pentingnya mengapa Kerajaan GPS harus diberikan mandat oleh rakyat agar usaha kerajaan selama ini tidak terhenti.

“Saya yakin, Abang Johari dan kerajaannya mempunyai perancangan yang kukuh untuk merealisasikan harapan rakyat,” ujarnya.

Beliau yang antara yang lantang menyuarakan isu bekalan air pada setiap persidangan Dun mengharapkan Kerajaan Sarawak akan terus memberikan diskaun atau subsidi bil air seperti mana kini, yang mana melibatkan perbelanjaan RM40 juta.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru