Tuesday, January 18, 2022

Ada apa dengan Ali Biju?

Secara Rawak

Ali Biju kini Datuk, memenangi kerusi DUN Krian dengan majoriti 2,090 undi pada 2011 dengan menewaskan calon BN-PDP, Datuk Peter Nyarok Entrie. Beliau dengan bergaya mendapat sokongan 60.16 peratus undi berbanding penentangnya hanya sekitar 36 peratus undi di kawasan majoriti Iban dengan puluhan rumah panjang.

Sejak  kemenangan menumbangkan penyandang berpengaruh itu, pemimpin politik berusia 53 tahun itu  tidak lagi menoleh ke belakang.

Ketika itu dan sekali lagi pada 2016, Ali memenangi kerusi majoriti Iban dengan majoriti yang menguncup.  Beliau meraih 1,640 undi majoriti setelah mendapat 5,388 undi untuk menewaskan Kilat Beriak yang hanya mendapat 3,748 undi.  Kali ini  sokongan terhadap beliau merosot kepada sekitar 59 peratus.Kedua-dua kemenangan itu ialah atas tiket PKR.

Bersama-sama Baru Bian yang bertanding di Ba’ Kelalan dan See  Chee How di Batu Lintang, tiga serangkai itu menang atas tiket PKR dalam PRN-11 pada 2016. Namun, susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020, Baru dan See Chee How menyertai PSB manakala Ali memilih untuk bersama-sama Bersatu.

Meskipun sudah terdapat angin kencang bertiup kencang bahawa Ali akan bertanding sebagai calon Bebas, ada yang masih ragu-ragu akan kesahihan berita itu menjelang hari nepanaan calon pada 6 Dis lalu. Namun, ternyata Ali memilih untuk menentang arahan bossnya di Kuala Lumpur apabila bertindak drastik. Beliau bertanding sebagai calon bebas untuk mempertahankan kerusi bagai tidak mepedulikan kesan dan risikonya.

Tidakkah Ali terfikir akan kesan terhadap tindakannya itu? Atau beliau lebih rela dikenakan tindakan disiplin, termasuk dipecat sebagai anggota Bersatu, sekali gus hilang jawatan sebagai  Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli di peringkat persekutuan yang kini disandangnya?

Mengapa penyandang dua penggal kerusi Krian itu berbuat demikian?  Apakah yang mendorong beliau untuk menentang arahan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dengan tegas menyatakan Bersatu tidak akan bertanding dalam PRN-12 Sarawak? Pasti Ali punya jawapannya. Usaha media untuk menghubungi beliau menjelang hari penamaan calon bagi mengesahkan khabar angin dan spekulasi waktu itu, tidak dijawab.

Mungkin atas keyakinan tinggi dapat memenangi kerusi itu dengan mudah serta atas desakan penyokongnya, Ali tidak kisah akan risiko yang bakal ditanggung, justeru mengambil keputusan bertarung di kerusi itu, menentang mantan Residen Betong, Friday Belik daripada GPS.

Kerusi DUN Krian menyaksikan pertandingan empat penjuru, bersama-sama 32 lagi kerusi DUN lain di Sarawak yang menyaksikan jumlah penjuru yang sama. Mengikut kebanyakan penganalisis politik, Ali berpotensi untuk menang kerusi berkenaan.

Takkan Ali tidak berfikir panjang sebelum membuat keputusan.  Keputusan sepenting itu tentu telah dibuat dengan mendalam, dengan mengambil kira kesan baik dan buruk.

Tindakan Ali itu tidak disenangi  Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Menurut beliau, tindakan Ali itu disifatkan sebagai melanggar perjanjian antara Bersatu dengan GPS untuk PRN-12.

“Sudah tentu saya sangat kecewa kerana kita ada perjanjian. Beliau (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin) telah memberitahu tiada ahli Bersatu akan terlibat dalam PRN di Sarawak,” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Manifesto GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam Rabu.

Abang Johari berkata, Muhyiddin turut membuat satu kenyataan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap Ali yang merupakan Naib Presiden Bersatu.  Manakala Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan, tindakan tegas akan diambil terhadap Ali kerana bertanding meskipun atas tiket Bebas.

Jelasnya, tindakan Ali bertentangan dengan Perlembagaan Bersatu yang menyatakan mana-mana ahli bertanding tanpa kebenaran parti akan berhadapan dengan tindakan disiplin yang tegas termasuk boleh terhenti keahlian serta-merta.

Kenyataan itu menyebabkan Ali terpaksa memikirkan semula keputusannya bertanding di kerusi yang dianggap panas oleh penganalisis politik. Justeru, pada petang semalam, Ali mengumumkan menarik diri sebagai calon Bebas bagi DUN Krian, dan akan memberi sokongan penuh kepada Friday Belik.

Ali  berkata, keputusannya itu bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

“Saya mendapat nasihat pimpinan tertinggi parti serta jaminan Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati antara PN dan Tan Sri Abang Johari Openg selaku Pengerusi GPS.

“Saya penuh yakin muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuh hubungan utuh antara PN dan GPS.

“Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik,” katanya lagi.

Tindakan Ali itu mendapat reaksi positif pelbagai pihak walaupun mungkin sahaja tidak disenangi sebahagian penyokongnya di akar umbi.

 

 

Kepimpinan Bersatu Sarawak amat berbesar hati dengan keputusan calon Bersatu Krian Datuk Ali Biju yang membuat keputusan menarik diri dari meneruskan pendiriannya untuk bertanding sebagai calon Bebas  pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Menurut Pengerusi Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, keputusan ini walaupun mungkin agak sukar bagi beliau tetapi membuktikan dirinya berjiwa besar. Katanya, ia satu tindakan yang dipandang tinggi  oleh Muhyiddin dan juga Bersatu Sarawak yang amat menghargai keputusan dan pengorbanan yang dilakukan beliau ini.

“Pada kesempatan ini saya ingin memaklumkan keputusan yang beliau ambil ini adalah selaras dengan keputusan Presiden dan Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu yang membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini demi kestabilan politik dan semangat setiakawan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Oleh itu, katanya, tindakan Ali membuktikan beliau mengutamakan parti demi meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS.

“Oleh itu saya dengan ini amat menyanjungi semangat, iltizam dan komitmen beliau yang berkorban demi masa depan rakyat Sarawak dan tindakan beliau ini wajar dijadikan contoh dan tauladan oleh semua ahli politik kerana keberanian beliau bertindak ini adalah demi kestabilan politik dan perjuangan yang lebih besar untuk rakyat Sarawak,” katanya.

“Prinsip dan keluhuran beliau ini perlu dijadikan tunjang perjuangan dalam membentuk kejayaan Bersatu Sarawak amnya dan politik Sarawak khasnya dan semua pihak perlu mencontohi pengorbanan dan keikhlasan beliau demi rakyat Sarawak,” ujarnya lagi.

Jelasnya, dengan keputusan Ali itu juga adalah jelas  beliau bersama-sama dengan Bersatu Sarawak kekal teguh dan tidak berbelah bagi menyokong kepimpinan Ketua Menteri yang juga Pengerusi  GPS dalam memastikan kemenangan besar pada PRN yang sedang berlangsung.

Hakikatnya, menurut peraturan pilihan raya yang diluluskan oleh Parlimen, Ali masih lagi menjadi calon walaupun beliau sudah menarik diri. Di bawah peraturan berkenaan, tiada tarik diri selepas penamaan calon dimuktamadkan secara rasmi.  Sebab, nama Ali tetap akan terpampang di kertas undi dengan lambang kerusi.

Dengan pengunduran Ali itu, tentu memberi  sedikit kelegaan kepada Friday yang menjadi pesaing ketat Ali. Namun, calon GPS itu belum dapat senyum memanjang kerana cabaran masih lagi terbentang di hadapannya sehinggalah kempen tamat pada tengah malam 17 Disember nanti, dan seterusnya keputusan  rasmi diumumkan pada malam 18 Disember.

Untuk itu, Ali perlu dilihat ikhlas dan komited untuk membantu kemenangan beliau. Jika tidak, Ali akan dilihat dengan mata sangsi.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sarawak.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru