Saturday, August 20, 2022

Abdul Karim: Belia  diberi perhatian

Secara Rawak

KUCHING: Aspirasi belia di Asajaya, khasnya di Kampung Beliong akan menjadi salah satu tumpuan utama oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata, sehubungan itu keperluan golongan belia di kawasan berkenaan tidak akan dipinggirkan dan isu yang membelenggu mereka akan diselesaikan.

Katanya, di kawasan berkenaan ketika ini timbul satu isu iaitu pembinaan bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Beliong yang ‘memasuki’ kawasan padang bola sepak yang kini sedang diselesaikan olehnya.

“Ini kerana kita mahu menyediakan kemudahan beriadah untuk belia di setiap kampung di Asajaya,” katanya seperti dipetik TVS.

Menurut Abdul Karim, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Kaum dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mengenal pasti tapak baharu yang sesuai dijadikan padang bola.

” Kalau boleh saya mahu setiap kampung perlu mempunyai padang masing – masing,” katanya.

Katanya, berdasarkan tinjauan, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti tapak baharu untuk dibina padang bola.

Mengulas mengenai masalah feri di kampung berkenaan, Abdul Karim memberitahu, beliau telah membuat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mempercepatkan pembinaan jalan raya.

“Justeru, jalan raya perlu dibangunkan dalam kawasan Beliong hingga ke Beradik kerana sekiranya perkhidmatan feri disediakan, kenderaan yang menyeberanginya tanpa wujudnya jalan raya yang elok, tidak akan membantu menyelesaikan masalah,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru