Saturday, August 20, 2022

413 penduduk Rumah Mathew Selutan nikmati rangkaian internet

Secara Rawak

BINTULU: Seramai 413 penduduk rumah panjang di Rumah Mathew Selutan di Kampung Sungai Sarau, 47 kilometer dari bandar Bintulu tersenyum gembira apabila dibekalkan perkhidmatan rangkaian Internet.

Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah memasang sistem Internet rangkaian terbuka melalui pelantikan Danawa Resources sebagai kontraktor utama.

Justeru, Menteri Utiliti Dato Sri Dr. Stephen Rundi berkata, wujudnya kemudahan Internet berkenaan, penduduk rumah panjang terdedah dengan sebarang maklumat di seluruh dunia.

“Di dalam Internet terdapat maklumat betul dan maklumat salah, jadi saya menasihatkan penduduk rumah panjang supaya bijak dalam menilai sebarang maklumat yang diterima.

“Jangan teruja dengan sebarang berita palsu dan menularkannya kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SMA semasa meninjau sistem Internet rangkaian terbuka di Rumah Mathew Seluta di Sebauh semalam.

Rundi turut memberitahu, penduduk rumah panjang boleh menggunakan aplikasi “Tik Tok” untuk menunjukkan cara-cara membuat pekasam ikan, kraf tangan dan sebagainya.

“Penduduk rumah panjang Mathew akan dikenali di seluruh dunia apabila menggunakan aplikasi-aplikasi dalam Internet dengan bijak apabila memaparkan keunikan yang terdapat di kampung ini.

“Tidak dapat dinafikan kemudahan Internet ini mampu mengubah taraf hidup penduduk rumah panjang dengan mencari pasaran secara maya untuk menjual produk-produk kampung,” tambahnya.

Kata Rundi lagi, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan terus memperkasakan dasar ekonomi digital apabila infrastruktur Internet disasarkan lengkap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022.

“Ketua Menteri akan membantu kita untuk terus mengorak langkah ke arah ekonomi digital dan muncul sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Besar SMA, Dr. Zaidi Razak berkata, sistem Internet rangkaian terbuka merupakan salah satu usaha SMA dalam membekalkan rangkaian Internet kepada penduduk rumah panjang yang terletak di kawasan luar bandar.

“SMA komited dalam memperbaiki dan menambah kualiti rangkaian Internet di seluruh kawasan di negeri ini.

“Oleh itu, kita memohon kerjasama erat daripada pihak yang membekalkan perkhidmatan seperti Digi, Maxis dan Celcom untuk turut memasang rangkaian mereka di sistem Internet rangkaian terbuka ini,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru