Saturday, June 25, 2022

Rekod GPS bukti manifesto mampu dicapai – Jeniri

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Banyak inisiatif pembangunan yang dijanjikan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi manifesto yang dikeluarkan pada Rabu adalah sesuatu yang dapat disaksikan sendiri kemajuannya.

Malah, menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, ada beberapa pembangunan seperti pembinaan lebuh raya dan jambatan telah pun ditunaikan sebelum ini.

“Sebelum GPS kemukakan tekad dan janji-janjinya, saya perhatikan GPS telah mengemukakan rekodnya ataupun seperti kad laporan sekolah.

“Jadi berdasarkan apa yang telah dikemukakan itu, janji-janji yang telah dikemukakan sejak lima tahun lalu sebenarnya telah ditunaikan ataupun dalam proses untuk ditunaikan.

“Sebagai contoh jambatan dan jalan raya, tidak mungkin ia dapat dibina atau siap dalam tempoh satu atau dua tahun.

“Melihat kepada pembinaan jambatan yang mereka telah janjikan itu, sebenarnya dalam proses atau dalam proses kemajuan,” menurut beliau melalui Astro Awani malam tadi.

Katanya, jika ingin dibandingkan dengan manifesto parti-parti lain, ia lebih kepada janji kosong dan tiada kemajuan dalam mencapai perjanjian.

“Berbanding dengan manifesto Pakatan Harapan, semua rakyat Malaysia sudah tahu bahawa untuk Sarawak terdapat lebih 30 janji, antarannya janji untuk menaikkan royalti minyak kepada 20 peratus.

“Dan janji untuk kembalikan hasil cukai kepada 50 peratus. Tetapi semua janji itu tidak ditunaikan, malah apa yang saya perhatikan, 22 bulan mereka perintah banyak projek yang telah dijanjikan telah dibatalkan,” tambah Jeniri lagi.

Terdahulu, parti GPS melancarkan 33 manifesto gabungan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kali ini.

Dengan tekad memajukan Sarawak Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan terus melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan demi rakyat negeri ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru