Tuesday, November 29, 2022

Rakyat saksi prestasi kerajaan negeri – Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Rakyat bijak untuk melihat serta menilai sendiri rekod Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selama empat tahun mentadbir negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Pengerusi GPS itu, sepanjang tempoh tersebut banyak hak-hak Sarawak diperjuangkan serta janji-janji telah ditunaikan untuk rakyat negeri ini.

“Kita dalam GPS bukan hanya cakap-cakap kosong, kita cakap dan tunaikan. Bukan seperti sesetengah pihak yang hanya tahu bercakap menabur janji sahaja, tetapi tidak ditunaikan.

“Untuk pilihan raya negeri kali ini, saya tidak mahu bercakap mengenai orang lain. Anda (rakyat) lihat sendiri rekod kerajaan negeri untuk tempoh empat tahun lalu.

“Kami di GPS sentiasa bekerjasama memperjuangkan hak-hak negeri seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), minyak dan gas. Malah perkara pertama saya lakukan adalah mengambil alih Empangan Hidro Elektrik Bakun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Penjaja Kota Sentosa di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan rakyat untuk menilai dengan bijak semua perkongsian di media sosial terutama berkaitan parti-parti politik.

“Anda nilaikan sendiri mana satu yang bagus atau fitnah. Jangan pengaruh rakyat, mereka pintar. Jadi saya biarkan anda untuk menilai sendiri pencapaian kerajaan,” katanya.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr Sim; Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang; calon GPS Kota Sentosa, Wilfred Yap; dan calon GPS Pending Milton Foo.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru