Saturday, June 25, 2022

Manifesto GPS: Sarawak yang stabil, makmur, gemilang

Secara Rawak

Ucapan Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg,

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sempena Pelancaran Manifesto GPS 

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada 8 Disember 2021, di Ibu Pejabat GPS, Jalan Bako, Petrajaya, Kuching, Sarawak.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera, Salam Sarawakku Sayang

Rakan-rakan pemimpin Gabungan Parti Sarawak

Datuk Joseph Salang Gandum, Pemangku Presiden, Parti Rakyat Sarawak (PRS)

Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Presiden, Sarawak United People’s Party (SUPP)

Dato’ Seri Tiong King Sing, Presiden, Progressive Democratic Party (PDP)

Ahli-Ahli Gabungan Parti Sarawak

Rakan-rakan Media

Khususnya rakyat Sarawak yang saya sayangi

PENGENALAN

  • Sekali lagi kita akan menghadapi Pillihan Raya Negeri Sarawak dan kali ini merupakan pilihan raya yang ke-12.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan bahawa Pilihan Raya Negeri yang ke-12 diadakan pada 18 Disember 2021.
  • Saya bersyukur kerana penamaan calon bagi kesemua calon-calon GPS telah berjalan dengan lancar pada 6 Disember 2021 di tempat penamaan calon masing-masing.
  • Pilihan Raya Negeri pada kali ini akan mencatatkan sejarah tersendiri di mana buat pertama kalinya GPS akan bertanding atas tiket sendiri, dengan gabungan parti-parti anak Sarawak tanpa campur tangan dan pengaruh parti-parti dari Semenanjung Malaysia.
  • GPS sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya ini kerana GPS mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, GPS tidak hanya menunggu masa pilihan raya untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan projek pembangunan bagi membela nasib dan memajukan sosio-ekonomi rakyat Sarawak.
  • GPS telah menjalankan amanah untuk membawa pembangunan di Sarawak bagi meneruskan mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya yang lepas.
  • Ini terbukti dengan kejayaan yang telah kita capai dalam pelbagai sektor, khususnya dalam pembangunan sosio-ekonomi, penyediaan kemudahan infrastruktur asas dan sosial serta menjaga kebajikan seluruh rakyat Sarawak.

GPS MENGUTAMAKAN SARAWAK

  • Sepanjang 58 tahun merdeka melalui penubuhan Malaysia, kita telah menempuh pelbagai pengalaman dalam perjalanan politik di peringkat Negeri dan Persekutuan. Pengalaman politik dalam tempoh lebih daripada setengah abad ini telah menjadikan kita lebih matang.
  • Susulan daripada krisis kepimpinan di peringkat Persekutuan pada tahun 2018, kita telah mengambil langkah yang sangat drastik dan berani dengan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak atau GPS pada 12 Jun 2018.
  • Sarawak memerlukan satu gabungan parti politik anak Sarawak yang kuat dan bersatu bagi berjuang membela nasib rakyat Sarawak tanpa dikawal dan dipengaruhi oleh parti-parti politik luar.
  • GPS menggabungkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Progressive Democratic Party (PDP) merupakan parti politik anak Sarawak yang unggul mewakili semua lapisan masyarakat di Sarawak. GPS telah berjaya mentadbir Sarawak mengikut acuan sendiri dan boleh membuat keputusan tanpa merujuk kepada mana-mana komponen parti di peringkat Persekutuan.
  • GPS adalah satu-satunya platform terbaik bagi rakyat Sarawak yang inginkan pembangunan yang berterusan dalam suasana politik yang stabil dan rakyat dapat hidup dengan harmoni, aman damai dan hormat menghormati di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

MANIFESTO GPS

  • Dengan mandat penuh daripada rakyat Sarawak untuk tempoh 5 tahun lagi, GPS berjanji dan bertekad untuk terus melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan demi rakyat Sarawak.
  • Pada malam ini, saya sebagai Pengerusi GPS dan seluruh kepimpinan dan ahli GPS bertekad dan berjanji, dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 ini, akan melaksana dan meneruskan 34 Manifesto GPS demi rakyat Sarawak, iaitu:
  • Menjamin Kestabilan dan Autonomi Politik Sarawak;
  • Mempertahan dan Membela Hak-Hak Sarawak Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Undang-Undang Negeri Sarawak;
  • Menjamin Hak Kesaksamaan Yang Inklusif Untuk Semua Rakyat Sarawak;
  • Mengiktiraf dan Menjamin Hak Rakyat Ke Atas Tanah Native Customary Right (NCR) dan Native Territorial Domain (NTD);
  • Menjadikan Sarawak Maju dan Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030;
  • Merapatkan Jurang Pendapatan Rakyat Melalui Pewujudan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan;
  • Membasmi Kemiskinan Bandar dan Luar Bandar;
  • Menyediakan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik, Skim Pembesaran Kampung (SPK), Skim Penempatan Semula (SPS), Bantuan Pembinaan dan Baik Pulih Rumah Panjang;
  • Memacu Pembangunan Ekonomi Sarawak Melalui Agenda Ekonomi Digital;
  • Memperkasakan Usaha Melindungi dan Memulihara Alam Semula Jadi;
  • Meningkatkan Pendapatan dan Sumber Hasil Sarawak;
  • Memperhebatkan Jaringan Jalan Perhubungan, Pengangkutan, Pelabuhan dan Lapangan Terbang;
  • Memperluaskan Liputan Bekalan Air, Elektrik dan Gas;
  • Memperluaskan Liputan Telekomunikasi dan Kemudahan Digital;
  • Mentransformasikan Pembangunan Ekonomi Luar Bandar;
  • Merancakkan Pembangunan Bandar Sejahtera dan Pintar;
  • Mentransformasikan dan Memacu Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan;
  • Membangun Sektor Perindustrian dan Pelaburan;
  • Menyediakan Lebih Banyak Peluang Perniagaan dan Memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS);
  • Memperhebatkan Sektor Pelancongan dan Perkhidmatan;
  • Memperkasakan Perkhidmatan Kerajaan Yang Berteraskan Kepada Integriti dan Tadbir Urus Yang Baik;
  • Meningkatkan Akses dan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan;
  • Meningkatkan Kualiti Pendidikan dan Latihan Teknikal;
  • Menjamin Keselamatan Negeri dan Rakyat;
  • Meningkatkan Kecekapan Pengurusan Bencana;
  • Mengukuhkan Keharmonian dan Kesejahteraan Sosial;
  • Menjamin dan Memelihara Budaya, Warisan dan Kepercayaan Pelbagai Kaum;
  • Memperkukuhkan Mahkamah Adat Bumiputera;
  • Membantu dan Mempercepatkan Anak Sarawak Yang Layak Untuk Mendapatkan Kerakyatan;
  • Menjaga dan Memelihara Kebajikan Rakyat;
  • Memperkasakan Penglibatan Wanita Dalam Pembangunan Sarawak;
  • Mempertingkatkan Penyertaan Belia Dalam Pembangunan Sarawak; dan
  • Memperhebatkan Bidang Sukan.
  • Bagi mengukuhkan kewangan masa hadapan “Sovereign Wealth Fund” akan ditubuhkan.
  • 33 Manifesto GPS ini adalah sangat komprehensif yang akan memperjuangkan hak Sarawak, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.
  • GPS telah menyediakan landasan yang kukuh untuk membangunkan Sarawak ke arah Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi menjelang 2030. Pelbagai inisiatif telah dirancang dan sedang dilaksanakan untuk menjadikan Sarawak maju dan rakyatnya menikmati kemakmuran ekonomi dan pembangunan sosial yang inklusif dalam suasana alam sekitar yang mampan yang dipacu oleh data dan inovasi.
  • Keupayaan GPS melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat jelas membuktikan bahawa kita mempunyai jentera pentadbiran yang mantap dan berhemah serta sistem tadbir urus kewangan yang baik, telus dan beramanah.

GPS MEMBELA SARAWAK

  • Parti-parti pembangkang hanya mampu mengkritik GPS. Mereka tidak mempunyai sebarang rekod pencapaian membangunkan Sarawak. Malahan semasa pemerintahan Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan, banyak projek pembangunan di Sarawak telah dibatalkan dan peruntukan ditarik balik.
  • GPS membela Sarawak dengan meneruskan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dibatalkan ini menggunakan peruntukan Kerajaan GPS Sarawak. 
  • GPS telah melaksanakan lebih 100 inisiatif yang merupakan game changer untuk merancakkan pembangunan sosio-ekonomi Sarawak yang telah mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat Sarawak. Antara projek-projek strategik berskala besar yang sedang dalam pelaksanaan dan memerlukan masa untuk disiapkan adalah:
    • Pembinaan 786 km Lebuhraya Pan Borneo dengan kos RM16.1 bilion dijangka siap pada tahun 2024;
    • Pembinaan 242 km Projek Jalan Utama Kedua yang melibatkan 3 Jambatan iaitu Sungai Lingga, Batang Saribas 2 dan Batang Lupar 2 dengan kos RM6 bilion yang dijangka siap pada tahun 2026;
    • Pembinaan 896 km Projek Jalan Pesisir yang melibatkan 10 jambatan iaitu Batang Rajang, Batang Saribas, Batang Paloh, Muara Lassa, Bintulu-Jepak, Batang Rambungan, Batang Lupar 1, Sungai Sarawak-Sejingkat, Sungai Krian dan Batang Igan yang dijangka siap pada tahun 2028;
    • Sistem Transit Aliran Automasi (ART) Kuching yang melibatkan pembinaan dua jajaran laluan sepanjang 52.6 km dijangka beroperasi pada 2025. Sarawak Metro Sdn Bhd sebagai anak syarikat milik penuh Sarawak Economic Development Corporation telah ditubuhkan pada Februari 2018 untuk membangun dan mengurus pengoperasian ART. Buat masa ini, kerja-kerja reka bentuk (design stage) sedang dilaksanakan. Pembinaan dijangka bermula pada tahun hadapan, iaitu suku tahun ketiga 2022;
    • Pembinaan 300 buah menara telekomunikasi yang dijangka siap pada tahun 2022 bertujuan untuk meningkatkan capaian internet di Sarawak. Pembangunan infrastruktur 5G akan bermula pada tahun 2022 dengan kerjasama Digital National Berhad; dan
    • Memperluaskan 100% liputan bekalan air dan elektrik menjelang 2025.  Sehingga kini, liputan bekalan air bersih terawat di kawasan luar bandar adalah 66.5% manakala 96% menikmati bekalan elektrik 24 jam.
  • GPS juga merancakkan pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan Rural Transformation Projects atau RTP.  GPS telah memperuntukkan RM1.06 bilion dalam tempoh 3 tahun yang lepas untuk melaksanakan 6,427 projek RTP di seluruh Sarawak.
  • Setiap ADUN GPS diberi peruntukan RM5 juta setahun untuk melaksanakan RTP di kawasan masing-masing. Kesemua ADUN GPS telah menunjukkan prestasi yang cemerlang melaksanakan RTP di kawasan masing-masing dan banyak lagi RTP akan dilaksanakan untuk tempoh 5 tahun yang akan datang.
  • Semasa rakyat terkesan dengan pandemik COVID-19, GPS telah memberi bantuan yang amat diperlukan rakyat melalui 7 pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang bernilai RM5.3 billion.
  • GPS juga telah melancarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) pada 22 Julai 2021 untuk melonjakkan pembangunan Sarawak. GPS yakin dengan mandat penuh rakyat, PCDS 2030 akan dilaksanakan dengan jayanya.

PENUTUP

Rakyat Sarawak yang saya kasihi,

  • Sebagai Pengerusi GPS, saya dan pasukan yang terdiri daripada kepimpinan pelbagai kaum di Sarawak akan terus komited untuk memastikan dasar-dasar yang kita laksanakan dapat memberi manfaat kepada rakyat. GPS akan memastikan tiada seorang pun rakyat Sarawak yang tersisih dalam mengecapi nikmat pembangunan.
  • GPS telah meletakkan asas pembangunan yang strategik untuk memastikan kemajuan berterusan Sarawak. Usaha membangunkan Sarawak hanya akan dapat direalisasikan sekiranya GPS terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan Sarawak melalui Pilihan Raya Negeri Ke-12 ini.
  • Masa hadapan Sarawak terletak di tangan orang Sarawak. Kita membangunkan Sarawak dengan acuan sendiri dan hanya kita yang dapat memastikan kemakmuran dinikmati oleh orang Sarawak.
  • Sebagai rakyat Sarawak, adalah menjadi kewajipan kita untuk memilih kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran pada masa kini dan akan datang. Ini adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan Sarawak yang kita sayangi.
  • Janganlah kita menggadaikan masa depan kita dengan memilih parti yang gagal memenuhi kehendak rakyat Sarawak dan tidak mampu menunaikan janji-janji yang dibuat, malah menipu rakyat Sarawak. Apatah lagi memilih parti yang bersekongkol dengan mereka yang pernah gagal memimpin negara.
  • Kepimpinan GPS yang berpengalaman, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi dan rekod pencapaian yang cemerlang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.
  • GPS perlukan sokongan padu rakyat Sarawak. Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang Stabil, Makmur dan Gemilang, demi menjadikan Sarawak Maju Menjelang 2030.

Jaga Sarawak, Intu Sarawak

Sarawak Diutamakan

Hidup GPS! Hidup GPS! Hidup GPS!

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru