Saturday, August 20, 2022

Calon Satok santuni masyarakat, perjelas lambang GPS

Secara Rawak

KUCHING: Muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) N8 Satok, Dato Ibrahim Baki optimis masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu akan bersama-sama GPS dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) ini.

Ia berdasarkan apa yang sudah dilakukan Kerajaan Sarawak pimpinan GPS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mentransformasikan negeri Sarawak khasnya dan kawasan Satok amnya.

Sebagai membuktikan sayang dan cinta kepada negeri Sarawak, kata calon itu, rakyat harus bersama-sama dengan pucuk pimpinan negeri dan berjalan seiringan untuk meneruskan kemajuan demi kesenangan rakyat pada masa depan.

“Saya dan rakan-rakan di kawasan Satok akan berusaha dan bekerja keras untuk meneruskan perjuangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan ini.

“Oleh itu, saya mengharapkan masyarakat khususnya pengundi di kawasan ini supaya memilih GPS pada pilihan raya kali ini untuk merealisasikan impian Ketua Menteri iaitu Sarawak muncul sebagai negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Walkabout di sekitar kawasan Satok. Sesuai dengan tema “Satok Untuk Semua Semua Untuk Satok”.

Beliau turut beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga di kedai-kedai makan sekitar Satok dan mengadakan tinjauan di kampung-kampung.

Semasa walkabout itu, calon Satok itu yang sudah 36 tahun pengalaman dalam politik turut menjelaskan kepada pengundi lambang GPS, parti pemerintah sekarang.

Pada masa sama, Ibrahim turut menyantuni golongan memerlukan di sekitar kampung-kampung.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru