Saturday, August 20, 2022

34 teras utama manifesto GPS pacu Sarawak jadi negeri maju

Secara Rawak

KABONG: Manifesto GPS pada PRN-12 yang menggariskan 34 teras utama bukan bersifat ‘cakap kosong’.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, sebaliknya dibuat berasaskan kepada apa yang telah berjaya dilakukan.

“Kita mempunyai bukti, kita miliki rekod yang cemerlang dan Manifesto GPS ini bukan hanya cakap-cakap,” katanya.

Timbalan Presiden PBB itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Kursus Fotografi dan Penyampaian Bantuan Keusahawanan Di Daerah Kabong di Dewan Terbuka Pantai Tanjung Kembang, hari ini.

Jelasnya, GPS akan terus berperjuang agar Sarawak lebih maju.

“Kita juga berazam menjelang 2030, Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi, yang sekali gus membolehkan kita merapatkan jurang antara wilayah.

“Kita juga berhasrat mempertingkatkan lagi usaha pembangunan infrastruktur jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik dan jaringan telekomunikasi yang sangat penting untuk ekonomi digital.

“Selain itu menjaga kebajikan rakyat agar nasib mereka sentiasa terbela,” ujarnya.

Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada malam tadi menyifatkan manifesto tersebut sangat komprehensif yang akan memperjuangkan hak Sarawak, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.

“Pelbagai inisiatif dirancang dan sedang dilaksanakan untuk menjadikan Sarawak maju dan rakyatnya menikmati kemakmuran ekonomi dan pembangunan sosial yang inklusif dalam suasana alam sekitar mampan yang dipacu oleh data dan inovasi,” katanya.

Manifesto GPS bertemakan Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru