Saturday, June 25, 2022

34 tekad pacu Sarawak ke hadapan

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,  34 tekad dan jani dalam Manifesto GPS  amat komprehensif, di samping memperjuangkan hak negeri, menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa depan Sarawak.

“GPS telah menyediakan landasan yang kukuh untuk membangunkan Sarawak ke arah Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030,” kata Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dalam ucapannya di majlis pelancaran manifesto GPS di BCCK  di sini malam tadi.

Manifesto berkenaan yang bertemakan “Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak”.

Manifesto yang turut memaparkan slogan ‘Sarawak untuk Semua, Semua untuk Sarawak’ itu kemudiannya diserahkan kepada setiap pemimpin tertinggi parti-parti komponen GPS iaitu Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pemangku Presiden Parti Rakyat Sarawak Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif Datuk Anthony Nogeh Gumbek.

Abang Johari  yang juga calon Gedong berkata pelbagai inisiatif telah dirancang dan sedang dilaksanakan untuk menjadikan Sarawak maju, dan rakyatnya menikmati kemakmuran ekonomi serta pembangunan sosial yang inklusif dalam suasana alam sekitar yang mampan, dipacu oleh data dan inovasi.

Katanya keupayaan GPS melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kepentingan rakyat, jelas membuktikan bahawa parti itu mempunyai jentera pentadbiran yang mantap dan berhemah serta sistem tadbir urus kewangan yang baik, telus dan beramanah.

Antara ‘janji’  dan tekad GPS dalam manifestonya termasuk menjamin kestabilan dan autonomi politik Sarawak serta mempertahakan dan membela hak-hak Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Negeri Sarawak dan Undang-Undang Negeri Sarawak.

Selain itu, memperkukuhkan Mahkamah Adat Bumiputera; membantu dan mempercepatkan anak Sarawak yang layak mendapatkan kerakyatan; merapatkan jurang pendapatan rakyat melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik.

Pada PRN12 ini, GPS bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri dan akan ditentang antara lain oleh PSB, PBK, Aspirasi, DAP, PKR, Pas, Amanah dan Sedar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru