Saturday, August 20, 2022

Azizul akan  meneruskan agenda pembangunan semua sektor di Tanjung Datu

Secara Rawak

LUNDU: Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan beberapa muka baru dan belia dalam Pilihan Raya Negeri Ke 12 (PRN12) Sarawak membuktikan suara belia didengari kepimpinan tertinggi GPS.

Ini selaras dengan aspirasi dan agenda pembangunan Sarawak yang berteraskan Ekonomi Digital yang memerlukan idea dan tindakan proaktif untuk menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi dan maju.

Salah seorang calon GPS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjung Datu Azizul Anuar Adenan, 30 tahun yang juga merupakan calon termuda telah diketengahkan bagi meneruskan pembangunan di DUN Tanjong Datu dan Sarawak.

Beliau merupakan anak kepada bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan bekas penyandang DUN N.3 Tanjung Datu akan berhadapan dengan tiga calon lain dalam pertandingan empat penjuru iaitu calon Bebas, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Menerusi video pendek Team Azizul selepas penamaan calon baru-baru ini, Azizul mengharapkan sokongan daripada pengundi-pengundi di DUN N.3 Tanjung Datu dengan memberi mandat kepadanya pada PRN12 Sarawak.

“Saya harap diberikan mandat untuk memimpin DUN N.3 Tanjong Datu pada 5 tahun akan datang.

“Saya merayu sokongan semua pada saya untuk menjadi wakil rakyat anda di sini. Terima kasih.

“Undilah calon nombor satu Azizul Anuar Adenan,” katanya.

Pada PRN12 Sarawak ini, seramai 11,384 pemilih berdaftar layak mengundi pada 18 Disember nanti.

Azizul sangat dikenali di kawasan DUN Tanjung Datu sejak era bapanya Pehin Sri Adenan mewakili kawasan itu dan diteruskan ibunya yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2017.

Mengakui dirinya menghadapi sedikit tekanan selepas dipilih menggantikan ibunya pada PRN12 Sarawak ini, Azizul bertekad akan melakukan yang terbaik dengan menjadikan pesanan arwah ayahnya sebagai pegangan.

“Ayah ketika hayatnya selalu berpesan, jika hendak buat sesuatu, mestilah bersungguh-sungguh dan itulah yang saya pegang,” katanya ketika ditemui selepas menerima watikah pelantikan calon GPS di Ibu Pejabat PBB Sarawak baru-baru ini.

Pada 2018 Azizul telah diangkat sebagai Ketua Pemuda PBB Tanjung Datu sekali gus memberikan pendedahan yang lebih luas kepadanya untuk berkhidmat di kawasan itu.

Ditanya mengenai misi dan visinya sekiranya berjaya mewakili DUN N.3 Tanjung Datu, Azizul berkata, beliau mahu meneruskan agenda pembangunan semua sektor meliputi ekonomi, sosial dan infrastruktur.

“Sebagai pewaris kepimpinan daripada ayah dan ibu, sudah semestinya tanggungjawab yang besar harus saya pikul untuk menjaga kawasan DUN N.3 Tanjung Datu yang keluasannya lebih besar dari Negeri Sembilan.

“Banyak lagi yang harus dilakukan khususnya bagi melonjakkan Tanjung Datu sebagai destinasi pelancongan utama di selatan Sarawak,” ujarnya lagi.

Pada PRN-11 Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan telah memenangi kerusi DUN N.3 Tanjung Datu dengan majoriti 5,892 undi dan PRK pada 2017 pula menyaksikan Datuk Amar Jamilah Anu berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih besar iaitu 6,573 undi.

SourceUKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru