Thursday, May 19, 2022

Kerajaan Sarawak sediakan pejabat baharu untuk SPANS

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memperuntukan pejabat baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) di Tingkat 16 dan 17 Bangunan Hikmah Exchange di Jalan Haji Taha, Satok dekat sini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pejabat itu juga dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.

“Sempena sambutan Jubli Intan SPANS hari ini (8 Dis), saya dengan bangga mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memperuntukan pejabat baharu SPANS Tingkat 16 dan 17 Bangunan Hikmah Exchange,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Jubli Intan SPANS yang disiarkan secara langsung di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), hari ini.

Tambah Abang Johari, sepanjang tempoh dua tahun yang mencabar ini terdapat pelbagai cabaran dalam mentadbir urus negeri tetapi jentera kerajaan dilihat berupaya menempuh rintangan yang tidak pernah dialami selama ini dengan efisien dan berkesan.

“Ia membuktikan Penjawat Awam
di negeri ini sentiasa bersedia dan berupaya menyesuaikan diri dengan apa jua bentuk perubahan persekitaran sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan teknologi,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau menegaskan Penjawat Awam perlu meletakkan integriti mendahului segenap tindakan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah
diberikan.

“Ia bagi memastikan tadbir urus yang baik dan reputasi Perkhidmatan Awam terus disanjung tinggi oleh rakyat. Kerajaan Negeri Sarawak komited untuk menjadikan integriti sebagai budaya dalam segenap lapisan masyarakat,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru