Sunday, June 26, 2022

Friday, Ali Biju: Pertembungan dua personaliti besar di Krian

Secara Rawak

Kerusi DUN N.39 Krian adalah di bawah Parlimen P.205 Saratok. Penyandang kerusi DUN N.39 Krian ialah Datuk Ali Biju yang memenangi kerusi tersebut atas tiket PKR. Beliau yang telah keluar daripada PKR dan menyertai Bersatu telah bertanding sebagai calon bebas pada PRN – 12 kali ini. Beliau juga merupakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli persekutuan kini menunggu apa-apa tindakan daripada parti Bersatu kerana telah ingkar arahan parti.

Presiden Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN) telah menegaskan bahawa mereka tidak akan bertanding dalam PRN-12 Sarawak dan mengumumkan akan menyokong GPS yang merupakan rakan gabungan yang membentuk kerajaan persekutuan. Tindakan beberapa orang ahli parti Bersatu yang bertanding dalam PRN-12 Sarawak menunjukkan mereka ingkar arahan parti. Persoalannya, apakah tindakan yang bakal diambil kepada beberapa orang ahli yang bertanding pada PRN-12 Sarawak? Sama-sama kita ikuti perkembangan perkara ini.

Bagi DUN N.39 Krian, Datuk Ali Biju telah memenangi kerusi tersebut pada PRN-11 Sarawak lepas dengan mendapat majoriti undi sebanyak 1640 dalam pertandingan satu lawan satu. Lawan kepada beliau pada PRN-11 lepas ialah Kilat Beriak yang mewakili BN-PDP ketika itu. Saudara Kilat Beriak mendapat undian sebanyak 3,748 undi manakala penyandang mendapat 5388 undi.

Pada PRN-12 kali ini, DUN N.39 Krian menyaksikan pertembungan 4 penjuru di antara GPS, PSB, PBK dan Bebas. Jumlah pengundi berdaftar di DUN N.39 Krian pada PRN – 12 ini adalah seramai 13,074 orang pengundi. Peningkatan jumlah pengundi berdaftar sebanyak 1,115 orang berbanding pada PRN-11 lepas hanya seramai 11, 959 pengundi berdaftar.

Jumlah pengundi baharu yang berdaftar ini bakal memberikan impak kepada keputusan di DUN N.39 Krian menjelang hari pengundian dengan mengambilkira peratusan keluar mengundi dapat dikekalkan atau ditingkatkan dan pengundi baharu ini akan turun mengundi. Pada PRN-11 lepas peratusan keluar mengundi bagi DUN N.39 Krian adalah sebanyak 76.88% yang mewakili 9, 138 pengundi keluar mengundi.

Ali Biju

Dalam pertarungan 4 penjuru kali ini, penyandang dilihat masih mempunyai kelebihan untuk mengekalkan kerusi yang disandang oleh beliau. Personaliti calon merupakan faktor yang menjadi kayu pengukur kepada penyokong beliau untuk terus mengekalkan beliau di kerusi DUN N.39 Krian. Jasa dan pengorbanan beliau dalam politik tempatan iaitu di kawasan yang diwakili beliau menjadi kekuatan beliau dalam menempuh PRN – 12 ini.

Pada PRN-12 kali ini, GPS melalui parti komponen mereka iaitu PDP telah mengemukakan muka baharu iaitu saudara Friday Belik untuk merampas kerusi DUN N.39 Krian.

Beliau merupakan bekas Residen Betong telah diamanahkan oleh GPS-PDP untuk memastikan kerusi DUN N.39 Krian dapat kembali kepada GPS. Persoalannya, mampukah beliau merampas kerusi DUN N.39 Krian daripada penyandang? Adakah parti-parti komponen GPS yang lain di DUN N.39 memberikan sokongan dan dukungan kepada beliau? Sama-sama kita renungkan perkara ini.

Selain itu, dua orang calon lain yang turut bertarung dalam PRN-12 kali ini di DUN N.39 Krian ialah Musa Dinggat mewakili PSB dan  Danny Kuan mewakili PBK. Kedua-dua calon ini dilihat bukan saingan utama kepada penyandang dalam PRN-12 ini. Namun begitu, apa-apa boleh berlaku dalam politik dan mereka mungkin boleh memberi kejutan berdasarkan apa berlaku dalam tempoh berkempen.

Isu-isu yang mungkin diketengahkan oleh calon adalah lebih kepada isu calon. Isu pembangunan juga tidak akan ditinggalkan bagi kawasan luar bandar seperti di DUN N.39 Krian. Namun begitu, demografi pengundi di kawasan DUN N.39 Krian harus diambil kira dalam memilih isu yang ingin diketengahkan. Ini kerana ramai golongan yang mempunyai pendidikan yang tinggi, birokrat serta pemimpin berasal dan menjadi pengundi di kawasan ini.

Apa yang pasti, sentimen rakyat di akar umbi masih kuat menyokong serta mendukung penyandang. Kemenangan beliau dalam PRN-11 sebelum ini bukan kerana parti PKR yang dianggotai beliau sebelum ini, namun lebih kepada personaliti penyandang sendiri. Bagi mengukuhkan perkara ini, dapat dilihat bahawa PKR tidak meletakkan calon mereka pada PRN-12 ini. Sekiranya faktor utama kemenangan beliau sebelum ini adalah kerana sokongan dan dukungan kepada parti, sudah pasti PKR akan meletakkan calon mereka di DUN N.39 Krian. Ini ialah realiti PKR di kawasan DUN N.39 Krian.

Apa-apa pun, apa-apa boleh berlaku dalam pertarungan minit terakhir dalam pilihan raya. Kempen secara sah baru bermula dan masih banyak jangkaan dan perkara diluar jangkaan bakal berlaku dalam politik terutama pilihan raya. Pada saat ini, kelebihan masih tetap memihak kepada penyandang di DUN N.39 Krian. Sentimen rakyat di akar umbi tetap teguh menyokong serta mendukung beliau pada PRN – 12 ini.

Siapakah sebenarnya akan menjadi pilihan 13, 074 pengundi di kawasan majoriti Iban ini pada 18 Disember nanti?

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru