Sunday, June 26, 2022

Pertembungan menarik di banyak kerusi

Secara Rawak

Proses penamaan calon sudah selesai dilaksanakan dalam proses PRN-12 Sarawak pada Isnin lepas. Kesemua 82 kerusi yang dipertandingkan sudah mengetahui calon yang bertanding dalam PRN- 12 ini. Pada PRN 12 ini, tidak ada kerusi DUN di Sarawak menang tanpa bertanding. Kini kegiataan kempen sah untuk dilaksanakan oleh kesemua parti politik yang berentap dalam PRN-12 Sarawak.

Pada PRN-12 ini, seramai 349 orang calon akan bertarung merebut 82 kerusi DUN Sarawak. Sebanyak 10 parti politik bertanding pada PRN 12 Sarawak iaitu GPS, PSB, PBK, PKR, DAP, ASPIRASI, PBDSB, AMANAH, SEDAR dan PAS.

GPS yang merupakan parti politik yang sebelum PRN 12 Sarawak menjadi kerajaan bertanding kesemua 82 kerusi. Parti-parti lain seperti PSB sah bertanding 70 kerusi, PBK – 73 kerusi, PKR – 28 kerusi, DAP – 26 kerusi, ASPIRASI – 15 kerusi, PBDSB – 11 kerusi, AMANAH – 8 kerusi, SEDAR – 5 kerusi dan PAS – 1 kerusi. Manakala, pada PRN 12 ini, seramai 30 orang calon bebas bertarung iaitu kurang daripada PRN 11 lepas apabila seramai 36 orang calon bebas bertanding.

Seperti yang dijangkakan, akan berlaku pertandingan pelbagai penjuru dalam PRN-12 ini. Pertembungan dua penjuru hanya berlaku di empat kawasan DUN iaitu Pantai Damai, Layar, Dalat dan Tamin. Pertembungan langsung ini berlaku seperti di Pantai Damai, Layar, dan Tamin antara GPS dan PSB. Manakala bagi Dalat, pertembungan adalah diantara GPS dan PBK. Pertembungan dua penjuru yang paling menarik untuk disaksikan ialah di DUN N.59 Tamin. Ia akan menjadi salah satu kerusi panas semasa PRN-12 Sarawak ini.

Pertembungan tiga penjuru diantara calon-calon yang bertanding adalah di 13 kawasan DUN Sarawak pada PRN-12 ini. Pertembungan tiga penjuru ini berlaku di kawasan DUN seperti Tupong, Semariang, Satok, Sebuyau, Balai Ringin, Bukit Saban, Kalaka, Daro, Jemoreng, Meluan, Nangka, Balingian, dan Bukit Sari. Majoriti pertandingan 3 penjuru ini berlaku di DUN kawasan majoriti pengundi Melayu.

Selain itu, selebihnya adalah pertembungan 4, 5, 6 dan 8 penjuru di kawasan DUN Sarawak pada PRN-12 ini. Pertembungan 4 penjuru berlaku di 33 kawasan DUN Sarawak. Pertembungan 5 penjuru pula berlaku di 24 kawasan DUN Sarawak. Kebanyakan pertembungan lima penjuru ini berlaku di kawasan majoriti pengundi Cina dan Dayak di utara dan kawasan tengah negeri Sarawak. Bagi pertembungan enam penjuru pula berlaku di tujuh kawasan DUN.

Apa yang menarik ialah berlaku pertembungan lapan penjuru di kawasan DUN N.52 Dudong apabila seorang presiden parti bertanding iaitu Datuk Seri Tiong King Sing yang merupakan Presiden PDP serta Ahli Parlimen Bintulu mewakili GPS. Sudah pasti kerusi DUN N.52 Dudong akan menggamit perhatian sepanjang proses PRN 12 ini.

Setelah sah bertanding dalam PRN 12 kali ini, calon-calon harus bermula untuk berkempen. Dalam meneliti calon yang bertanding calon muda yang ditampilkan oleh parti-parti politik yang berumur dalam lingkungan 20-an adalah lapan orang. Kesemua calon yang diketengahkan yang berumur dalam lingkungan 20-an ini adalah daripada parti DAP. Adakah calon-calon muda ini dapat diterima oleh pengund?

Selain itu, amat besar harapan parti kepada calon yang diberikan amanah oleh parti masing-masing untuk memberi kemenangan kepada parti sekaligus menyumbang kerusi kepada parti semasa PRN-12 ini. Amanah dan tanggungjawab yang berat ini harus dipikul oleh calon-calon bagi memastikan mereka dapat menyumbangkan kerusi serta kemenangan kepada parti masing-masing.

Kini tumpuan akan diberikan kepada strategi kempen parti-parti politik serta calon Bebas yang bertanding. Jentera parti sudah lama bergerak di kawasan masing-masing. Peranan jentera parti tidak dapat dinafikan dalam berkempen bagi memastikan manifesto parti dapat disampaikan kepada pengundi. Tempoh berkempen selama 12 hari yang diberikan harus digunakan dengan sebaik-baiknya oleh semua calon yang bertanding. Tahniah kepada calon-calon yang telah disahkan bertanding dalam PRN-12 ini.

Penulis ialah penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru