Tuesday, September 27, 2022

Fokus isu kediaman masyarakat di Dun Batu Lintang

Secara Rawak

KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sih Hua Tong akan memfokuskan isu kediaman masyarakat di kawasan Batu Lintang, sekiranya mendapat mandat untuk memimpin kawasan tersebut.

Beliau yang merupakan Pengerusi parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Batu Lintang itu berkata, masih banyak isu kediaman yang perlu diselesaikan di kawasan itu.

“Seperti yang kita tahu, Batu Lintang adalah kawasan yang mempunyai banyak perumahan berbanding di kawasan komersial.

“Jadi saya berhasrat untuk menjadikan semua kawasan perumahan disini dalam keadaan selesa dan selamat untuk didiami oleh semua kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi penamaan calon yang diadakan di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi DUN Batu Lintang pagi tadi.

Menurutnya, isu ini merupakan masalah utama yang sering dihadapi masyarakat di kawasan ini sejak bertahun-tahun.

“Tidak banyak proses penambahbaikan dilakukan di sini dan sekiranya mendapat mandat daripada rakyat saya pastikan perkara ini diusul di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk diselesaikan,” katanya lagi.

Terdahulu, Sui pernah bertanding di kerusi yang sama dua tahun berturut-turut dan tumpas dengan lawannya See Chee How yang kini bertanding di bawah tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Kini, calon GPS ini bakal berhadapan pertembungan lima penjuru untuk merebut kerusi DUN Batu Lintang, selepas empat calon lain turut menyerahkan borang pencalonan di MBKS pagi tadi.

Empat calon ini termasuk Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cherishe Ng, Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Alex Leong Shaow Tung dan juga mantan DUN Batu Lintang See Chee How mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru